Blog

5 Makanan disebut dalam Quran demi Kesihatan

Makan Bukan Sahaja Yang Halal, Tetapi Juga Yang Baik (Tayyiban) Demi Kesihatan Yang Seimbang

USTAZ ABDUL AZIZ MOHAMAD

Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa cara terbaik bagi mencegah penyakit ialah dengan mengamalkan diet yang sihat.

Sabda Baginda: “Makanan adalah sumber penyakit; namun program diet adalah sumber kesihatan.”

Begitu seorang Doktor Arab bernama Haris Ibn Kiladah mengatakan:  Diet adalah pokok segala Ubat dan perut itu adalah tempat segala penyakit.

Sebagai panduan hidup, Islam juga banyak mengajarkan umatnya tentang pemakanan, khususnya makanan yang membawa khasiat kepada diri manusia.

Islam juga menetapkan bahawa pemakanan yang tidak seimbang dan tidak sihat boleh mendatangkan mudarat kepada diri manusia.

Justeru daripada sudut fiqh, umat Islam diwajibkan memakan hanya makanan yang halal lagi berkualiti bagi memastikan apa yang dimasukkan ke dalam tubuh hanya bahan-bahan yang baik lagi menyihatkan.

Di Singapura, kita sebagai masyarakat minoriti Islam amat bernasib baik kerana terdapat badan yang bertanggungjawab – Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) – yang dapat menyediakan pensijilan halal kepada produk-produk yang dijual di pasaran.

Sijil halal yang dikeluarkan pihak Muis itu, juga dijaga dan dikawal rapi bagi memastikan ia tidak disalahguna – satu langkah yang dapat memberi keyakinan kepada masyarakat pengguna tentang status kehalalan sesuatu produk yang memiliki sijil tersebut.

Namun selain memastikan sesuatu produk itu boleh dimakan atau diguna masyarakat Islam, status halal juga seharusnya memastikan ia baik untuk dimakan atau diguna.

Rasulullah s.a.w dalam berdakwah banyak mengajarkan tentang makanan-makanan yang baik untuk dimakan kerana memiliki khasiat yang tinggi.

Sebahagian makanan yang dianjurkan Rasulullah juga memiliki khasiat yang boleh mencegah pelbagai penyakit.

 

1. Buah Kurma

Allah berfirman dalam Surah Al-Rahman, ayat 11:

“Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada kelopak-kelopak mayang.”

Dalam ayat ini, Allah menyebut tentang pepohon kurma kerana ia mempunyai banyak khasiat, tatkala ia segar mahupun kering.

Ibn Jurayj melaporkan bahawa Ibn ‘Abbas pernah berkata maksud ‘Al-Akmam’ ialah batang buah yang telah disarungkan, atau lebih tepat lagi, batang yang mana padanya tumbuh buah-buah kurma.

Buah kurma disebut sebanyak 20 kali dalam Al-Quran.

Dalam satu hadis yang sahih, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang makan tujuh biji kurma dari kawasan ‘Aaliyah pada waktu pagi, dia tidak akan diapa-apakan oleh racun atau sihir sepanjang hari itu.” (Riwayat al-Bukhari, Kitab at-Thib: no.5769)

Kajian menunjukkan bahawa kurma Ajwah Aliyah mengandungi sejenis kimia yang boleh menajamkan pandangan mata, maka itu permainan sihir selalu sasarannya adalah pada mata, begitu juga kajian membuktikan bahwa kurma kering memperkuatkan hati, memastikan usus lawas, meningkatkan penghasilan air mani dan juga melegakan sakit tekak.

 

2. Buah Tin

Al-Quran juga banyak menyebut tentang tumbuh-tumbuhan dan produk-produk asal haiwan sebagai antara makanan yang dapat dinikmati manusia dan meraih khasiat serta nilai kesihatannya. Antara yang disebut Al-Quran dan Hadis termasuk anggur, limau, tembikai, buah tin, madu, minyak zaitun dan biji hitam atau habatussaudah.

Rasulullah pernah menyebut tentang buah tin dan menambah:

“Jika aku perlu memilih buah yang diturunkan dari syurga, aku akan mengatakan buah ini kerana buah dari syurga tidak mengandungi biji.. makanlah buah-buahan ini untuk mencegah hemoroid, buasir dan membantu penyakit gaut.”

Dari segi kandungan khasiat, buah tin tinggi serat, serta potasium dan vitamin B6. Kadar serat yang tinggi mampu mengelak seseorang dari mengalami sembelit, buasir dan barah usus besar.

Allah menyebut tentang buah tin dalam Surah At-Tiin, ayat 1:

“Demi buah Tiin dan Zaitun.”

Allah bersumpah pada buah tin dan zaitun dalam Al-Quran kerana khasiatnya yang tinggi serta kegunaannya yang memberi manfaat. Ini melambangkan pentingnya kededua buah dalam kehidupan manusia sebagai buah-buahan yang dipilih Allah s.w.t untuk dinikmati manusia dan meraih manfaatnya.

 

3. Minyak Zaitun

Pada April 1997, 16 doktor ternama di dunia bertemu di kota Rome untuk sama-sama membentangkan saranan dan keputusan mereka tentang khasiat baik minyak zaitun dalam diet pemakanan masyarakat Mediterranean.

Para pakar ini mengesahkan bahawa diet yang mengandungi minyak zaitun melindungi tubuh daripada penyakit jantung, mengawal kadar kolesterol, tekanan darah, kencing manis dan masalah obesiti. Ia juga mencegah daripada beberapa jenis barah.

Sebenarnya tiada penyelidik dari Amerika atau Eropah yang memberikan perhatian pada minyak zaitun sehingga tahun 1986 – apabila seorang doktor pakar menyampaikan kajiannya yang membuktikan bahawa minyak zaitun mengurangkan kadar kolesterol dalam tubuh.

Rasulullah s.a.w berkata:

“Makan zaitun dan gosok pada kulit, kerana ia datang dari pohon yang dirahmati.” (Riwayat Ahmad dan Tirmidhi)

 

4. Habatussaudah (Biji Hitam)

Biji hitam atau lebih dikenali sebagai habatussaudah merupakan salah satu makanan penawar yang paling disanjungi dalam sejarah. Ia digunakan pelbagai tamadun dan masyarakat, antaranya masyarakat Arab, India, Yahudi, Parsi dan juga orang Inggeris.

Pakar perubatan Yunani, Dioscorides (40-90 Masihi) menggunakan biji hitam untuk merawat sakit kepala dan sakit gigi.

Biji dan minyak biji hitam telah digunakan secara meluas sepanjang zaman untuk merawat penyakit sistem pernafasan, perut, buah pinggang dan hati, perjalanan darah, sistem kekebalan dan barah. Dalam Islam, ia dianggap sebagai ubat penawar yang paling unggul.

Rasulullah pernah bersabda:

“Biji hitam boleh merawat semua jenis penyakit, kecuali mati.”

 

5. Madu

Rasulullah s.a.w pernah meminum madu yang dicampur air bagi mengisi perut yang kosong sebagai salah satu cara beliau memastikan tubuh kekal sihat.

Ternyata, Islam mengajar umatnya agar sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang bagi memastikan tubuh kekal sihat. Ini dapat dilakukan dengan memastikan apa yang dimakan tidak berlebihan, halal dan lebih penting lagi, bahan yang baik yang mendatangkan kebaikan pada tubuh badan.

Dengan kebanyakan masyarakat Islam Singapura dibelenggu pelbagai masalah kesihatan, seperti kencing manis, darah tinggi dan kadar kolesterol yang tinggi, malah lebih penting lagi penjagaan makanan ini diterapkan dalam gaya hidup seseorang Muslim.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Tiada penyakit yang Allah turunkan kecuali Dia turunkan bersama penawaranya.” (Riwayat al-Bukhari, Kitab at-Thib, hadis no. 5678)

Penulis seorang Pensyarah separuh masa dan calon  PhD di UTM  Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>