Blog

Awas Berita Palsu boleh Memecah-belahkan

Perlu sahkan kebenaran dan nilai sebelum sebar sesuatu.

USTAZAH NUR DIYANA ZAIT

HARI ini, wadah-wadah media sosial sering menjadi sumber santapan berita bagi ramai dalam kalangan kita.

Bahkan, berita-berita ini adakalanya dikongsi teman-teman di laman media sosial seperti Facebook and Twitter, menjadinya ia lebih mudah untuk didapatkan dan dilihat.

Tidak kurang pula berita-berita yang ‘disponsor’ oleh si pekongsi untuk disebarkan kepada umum di laman Facebook kita khususnya.

Dan adakalanya, terdapat pula teman-teman kita yang menyampaikan klip-klip video atau pos-pos mengenai sesuatu perkara, insiden mahupun kekata mutiara menerusi aplikasi komunikasi WhatsApp – sekaligus memudahkan kita untuk menerima berita-berita tersebut kerana ia lebih bersifat peribadi dan khusus.

Namun tanpa sebarang sumber atau saluran rujukan, bagaimanakah dapat kita pastikan berita atau maklumat yang diterima itu benar?

Dengan kecanggihan teknologi digital dan desain, macam-macam yang boleh disunting bagi membolehkan sesebuah klip atau gambar kelihatan benar. Yang tiada diada-adakan. Yang ada boleh dihilangkan.

Dalam kita mengalu-alukan penyebaran maklumat penting demi kebaikan semua, perkongsian berita palsu, malah yang lebih merbahaya lagi, berita yang boleh menjejas ketenteraman awam dan menimbulkan situasi panik, adalah sesuatu fenomena yang kian berleluasa di seluruh dunia.

Memburukkan keadaan, berita palsu sering menggunakan tajuk utama yang menarik atau cerita yang dibuat sepenuhnya untuk meningkatkan pembaca, perkongsian dalam talian dan pendapatan klik Internet. Dalam kes ini, ia sama dengan tajuk utama “click-bait” dalam talian dan bergantung kepada pendapatan iklan yang dihasilkan daripada aktiviti ini, tanpa mengira kebenaran cerita yang diterbitkan.

Berita palsu juga menjejaskan liputan media yang serius dan menjadikannya lebih sukar bagi wartawan untuk membahas berita penting.

Ini kerana berita palsu ditulis dan diterbitkan dengan niat mengelirukan untuk mendapatkan kewangan atau politik, sering dengan tajuk berita sensasi, dibesar-besarkan, atau tajuk palsu yang menarik perhatian.

 

Berita palsu dalam Islam

Penyebaran berita palsu bukanlah sesuatu perkara baru. Ia telah menjadi trend sejak dari zaman Nabi saw.

Pada zaman itu, terdapat sebahagian orang mereka-reka khabar kemudian disandarkan kepada Nabi saw, atau para Sahabat dan Tabi’in secara dusta. Ini dinamakan Hadis Mawdu’ ataupun hadis palsu.

Para jumhur ulama bersepakat bahawa Hadis Palsu sememangnya haram dijadikan hujjah, diamalkan, meriwayatkan dan diriwayatkan, sama ada dalam persoalan yang berkaitan dengan akidah, mahupun ibadah, perundangan ataupun akhlak.

Sesiapa yang mencipta Hadis Palsu merupakan dosa yang besar sepertimana yang dinyatakan Nabi saw melalui sabda Baginda:

“Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, hendaklah dia mempersiapkan tempat duduknya di Neraka.” (Riwayat Muslim, Tahzir al-Kazib: 4)

Dengan kecanggihan teknologi pada zaman ini seperti kewujudan Whatsapp, Twitter, Facebook dan lelaman-lelaman di media sosial, penyebaran berita palsu lebih mudah dan pantas dikongsi dan disebar luas kepada warga dunia tiada sempadan ini. Betapa banyak Hadis-Hadis palsu yang laris di telinga masyarakat kita hari ini.

Antaranya ialah Hadis: “Tuntutlah ilmu walaupun ke negara Cina kerana sesungguhnya menuntut ilmu itu wajib terhadap setiap muslim” (Ibn al-Jawzi, al-Mawdu’at: 345)

Perlu hati-hati bila berkongsi kekata sedemikian dan mengatakannya sebagai sepotong hadis kerana ia adalah palsu. Kalau ingin juga berkongsi kerana merasakan kandungannya baik dan positif, harus ditekankan bahawa ia hanyalah kekata mutiara sahaja.

Betapa banyak pertelingkahan saudara-mara, perpisahan suami isteri, peperangan antara bangsa berlainan disebabkan berita palsu.

Dengan itu, Islam telah meletakkan kaedah bagi umatnya demi memelihara mereka dari perpisahan dan api fitnah. Islam menyuruh umatnya supaya berwaspada terhadap berita yang dibawa oleh seseorang yang tidak diketahui kejujurannya.

Sepertimana difirmankan oleh Allah swt dalam surah Al-Hujurat, ayat 6:

“Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti ….”

Maksudnya, janganlah kamu menerima berita dari orang fasik begitu saja kecuali setelah memeriksa, meneliti dan mendapatkan bukti atas kebenaran berita itu.

Allah memberitahu melalui ayat ini bahawa orang yang fasik itu dusta dalam pembicaraannya. Tetapi adakalanya dia juga bercakap benar.

Disebabkan itu, kita tidak boleh terima berita yang disampaikan begitu sahaja, dan juga tidak menolaknya begitu sahaja. Dengan itu, umat islam disuruh untuk meneliti, menyelidik asal usul berita itu dan membuktikan kebenarannya. Jika didapati berita itu benar, maka ia diterima. Dan jika didapati sebaliknya, maka ia ditolak.

Kemudian Allah menyebut illah (sebab) mengapa kita diperintahkan untuk meneliti dan dilarang menerima berita itu begitu sahaja di dalam ayat yang sama:

“… agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu.” (surah Al-Hujurat, ayat 6)

Lebih-lebih lagi jika berita itu memudaratkan masyarakat Islam sehingga menambahkan penderitaan kepada orang yang difitnah dengan berita palsu tersebut serta mengucar-kacirkan masyarakat umum.

Seperti fitnah Hadis al-Ifki (tuduhan palsu) yang terjadi kepada keluarga Baginda saw, Sayyidatina Aisyah ra hanya kerana berita palsu yang dibawa oleh para munafik. Mereka menimbulkan cerita bahawa kononnya Sayyidatina Aisyah ra telah berlaku curang dengan seorang tentera Islam walhal mereka berdua tidak bercakap sepatah perkataan pun.

Malangnya, sesetengah umat Islam pada masa itu termakan dengan tuduhan itu sehingga ada yang menyebarkannya. Sebahagian yang lain hanya mendengar berita itu lalu mendiamkan diri sahaja.

Disebabkan berita palsu tersebut, ia membawa penderitaan terhadap semua pihak yang terlibat – keluarga Rasulullah saw, keluarga isterinya Aisyah ra, pemuda tentera yang difitnah, dan masyarakat Islam pada masa itu yang tidak tenteram dan berpecah-belah dalam situasi ini.

 

Pengajaran

Berhati-hati ketika menerima berita yang tidak diketahui kesahihannya. Kita harus menyelidik asal usul berita itu agar dapat diketahui sama ada ia benar atau tidak kerana boleh membawa kepada huru-hara dalam sebuah masyarakat

Umat islam hendaklah menjaga lidah dan bersangka baik terhadap saudara sendiri yang difitnah agar tidak menjadi pembawa mulut berita tersebut hingga menyebabkan yang dituduh menderita.

Pendakwah atau penceramah harus amanah ketika menyampaikan syarahan lebih-lebih lagi yang mengandungi petikan-petikan hadis. Mereka perlu bertanggungjawab dan merujuk sumber-sumber yang bertauliah sebelum menyampaikan sesuatu.

Masyarakat pula perlu bertindak bijak dalam menilai, memahami dan bertanggungjawab dalam menyebar sebarang berita. Perlulah menyemak dan menyelidik kesahihan sesuatu berita atau Hadis, jangan menerima atau menolak begitu sahaja tanpa penelitian.

Langkah-langkah mengambil berat tentang hal ini amatlah penting kerana dalam kita melakukannya, kita sebenarnya menjaga kesucian al-Quran dan Hadis Nabi.

 

Penulis seorang asatizah bebas.
Artikel pertama kali disiarkan di Berita Harian dalam ruangan Hidayah pada 7 July 2017.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>