Blog

Jadikan Perkahwinan Sebagai Ibadah

Oleh Ustaz Pasuni Maulan

MANUSIA dicipta Allah untuk mengabdikan diri kepadaNya. Setiap kegiatan kehidupan tidak terpisah dari usaha mengabdi diri kepada Allah. Demikian juga dengan pembinaan keluarga – ia satu ibadah kerana peranan keluarga amat penting dalam membentuk dan mencorak generasi masa depan serta pembangunan masyarakat.

Peraturan pernikahan diatur rapi agar rumah tangga dapat dibina di atas asas kukuh. Ia tidak bermula setelah bernikah, tetapi sebaliknya sebelum melangkah ke alam perkahwinan – bagaimana menyediakan diri menjadi suami isteri yang baik, memahami kesesuaian dalam membuat pilihan, atau lebih dikenali sebagai ‘kufu’, dan sebagainya.

Memandangkan peranan keluarga yang penting, wajarlah setiap pasangan yang ingin melangkahkan kaki ke jinjang pelamin mempelajari tanggungjawab yang akan dipikul, malah ia satu kewajipan, sesuai dengan kaedah usul fiqh atau perundangan Islam yang menyatakan “setiap perkara wajib dan tidak dapat disempurnakan melainkan dengan sesuatu yang lain, maka sesuatu yang lain itu menjadi wajib”. Ini mencerminkan ilmu bekalan paling penting bagi sesiapa yang ingin bernikah.

Ibu bapa juga harus memainkan peranan menyemai sifat bertanggungjawab dan menjelaskan kepada anak-anak nilai yang harus dimiliki bakal pasangan hidup. Usaha tersebut mampu memperkasakan keluarga, menyumbang ke arah pembinaan keluarga sakinah, di samping membantu mengurangkan masalah

Sebahagian masyarakat hari ini kurang bijak memberi keutamaan, terutama dalam mempersiapkan diri bagi alam rumah tangga. Ramai yang lebih memikirkan tentang persiapan mengadakan majlis walimah dan sanggup membelanjakan puluhan ribu dolar. Sayangnya, persiapan mental dan usaha memiliki daya tahan bagi menghadapi ombak kehidupan dipandang sambil lewa.

Kita yakin ajaran Islam dapat membimbing kehidupan penganutnya ke arah kebahagiaan, namun realitinya masyarakat kita terus dibelenggu berbagai masalah sosial yang timbul akibat penceraian atau keluarga yang tidak menjadikan Islam sebagai satu cara hidup.

Tiada jalan pintas untuk mengukuhkan kehidupan berkeluarga yang diredai Allah kecuali dengan menghayati ajaran Islam. Suami sebagai pemimpin keluarga memainkan peranan penting untuk menentukan visi dan memastikan keluarga berada di landasan yang betul.

Allah mengingatkan dalam surah At-Tahrim ayat 6 bermaksud:

Wahai orang-orang beriman peliharalah diri kamu dan anggota keluarga kamu dari api neraka…”

Untuk membolehkan seseorang pemimpin melaksanakan tugas ini beliau hendaklah menjadi contoh dan mampu merangsang anggota keluarganya untuk sentiasa mentaati ajaran Islam.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada Ibnu Abbas yang bermaksud:

Wahai anak muda, aku ajarkan kepada mu beberapa kalimat: jagalah Allah Dia akan menjaga mu, Ingatlah Allah, nescaya kau dapati Dia di hadapan mu, jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah, dan jika engkau memohon pertolongan mohonlah kepada Allah

Pesanan Rasulullah ini jika dikaitkan dengan kehidupan berkeluarga amat sesuai kerana seseorang yang menjaga hak Allah akan melaksanakan segala amanah dengan cara yang terbaik. Andainya setiap pasangan memahami hal ini, tentu lebih mudah mengemudikan hidup berkeluarga, dan jika berhadapan dengan badai, ia tetap mencari huraian berdasarkan ajaran Allah.

Memahami maksud hadis tidak terbatas kepada amalan ritual sahaja. Ini kerana setiap bacaan, perintah atau larangan mengandungi hikmah dan petunjuk ke arah penggantungan kepada Allah dengan berusaha dan berazam untuk mencapainya.

Berbanding rumah tangga masyarakat bukan Islam, peratusan perceraian keluarga Islam masih tinggi, dan ia memberi gambaran negatif terhadap ajaran Islam dan boleh menimbulkan kekeliruan tentang keberkesanan Islam dalam mengatur kehidupan penganutnya.

Setiap tahun Jabatan Statistik (DOS) memaparkan sebab-sebab penceraian. Jika diamati ia sebenarnya berpunca dari sikap mengambil mudah terhadap ajaran Islam, umpamanya gagal memberi nafkah dan tidak berkomunikasi dengan baik sehingga berlaku ketegangan. Secara sedar atau tidak, ini menampakkan kelemahan keluarga terbabit tentang penghayatan ajaran Islam.

Suami yang bertakwa tidak akan abai tanggung jawab terhadap isteri dan anak-anak; suami yang menjadikan Rasulullah sebagai contoh akan melayan isteri dengan mesra malah ia adalah lambang kesempurnaan iman. Maksud hadis Rasulullah:

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang baik akhlaknya dan melayan mesra anggota keluarganya.” (Riwayat Imam Tirmidzi)

Dalam pada itu, penceraian juga dilihat di kalangan pasangan yang rajin melakukan ibadah, malah ada yang disanjung kerana ilmu agamanya. Hal ini menggambarkan amalan yang tidak dijiwai dan ilmu yang tidak diterapkan dalam kehidupan seharian, hinggakan kurang mampu untuk meningkatkan nilai keluarga berteraskan iman.

Rumah tangga diredai Allah apabila wujud keadaan di mana yang muda dikasihi dan yang tua dihormati. Jalinan kasih dengan ibu bapa akan membawa keberkatan dan menjadi contoh baik kepada generasi muda.

Sebahagian anak-anak menganggap ibu bapa yang semakin uzur sebagai beban dan menganggap ia satu tekanan kehidupan. Malah timbul istilah “keluarga sandwic” di mana keluarga ditimpa tekanan dari atas, iaitu tanggungjawab menjaga orang tua, dan tekanan dari bawah, iaitu tanggungjawab menjaga anak-anak. Justeru, kita kini mula melihat anak-anak yang rela menempatkan ibu bapa yang uzur di rumah-rumah kebajikan, atau ibu bapa yang ke mahkamah untuk menuntut nafkah dari anak-anak.

Rumah tangga sakinah hanya mampu dibina jika iman menjadi asas dan penghayatan syariat menjadi pegangan sehingga kehidupan berakhlak sentiasa menjadi pakaian. Bila seorang Muslim mendekati Allah dengan melaksanakan tuntutan hidup beragama, kehidupan menjadi aman. Sebaliknya bila menjauhi Allah, kehidupan berkeluarga akan hilang arah.

Oleh itu, mulalah bina asas tersebut. Mari kita jadikan Ramadan yang bakal tiba ini peluang terbaik untuk mengukuhkan asas agama kita agar mampu dijadikan sandaran yang terbaik dalam membina sebuah keluarga yang sakinah dan kukuh, Insya-Allah.

“Dan barang siapa yang berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia lalu berkata Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat? Allah berfirman: Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu dilupakan. (Surah Taha: 124-126).

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>