Blog

Jangan Jadikan Ramadan Bulan Pembaziran Makanan

USTAZAH SAIDATUNAH NAFISAH MOHAMED IBRAHIM

BULAN Ramadan dikenali juga dengan musim beribadah untuk umat Islam.

Maka kita akan lihat ramai antara kita yang berlumba-lumba mencari pahala. Pada bulan Ramadan juga kita akan dapati ramai umat Islam yang berpusu-pusu ke masjid. Masjid-masjid di seluruh dunia akan dipenuhi dengan umat Islam khususnya untuk beriktikaf, solat berjemaah dan bertarawih.

Di satu aspek yang lain, tanpa kita sedari, secara tidak langsung bulan Ramadan seolah-olah telah menjadi bulan pesta makan untuk sebahagian kita. Pada bulan ini orang ramai berpusu-pusu juga ke bazar Ramadan, membeli bermacam-macam juadah untuk berbuka.

Ada juga mereka yang berbuka secara ‘buffet’ di restoran bersama ahli keluarga. Inilah peluang untuk merapatkan ukhuwah sesama ahli keluarga yang telah lama tidak makan bersama kerana sibuk dengan urusan sekolah dan kerja.

Namun dalam kita mengadakan acara makan bersama, atau apabila membeli-belah di bazar Ramadan, haruslah kita berbelanja secara berhemah. Semasa membeli juadah berbuka kita dalam keadaan lapar dan dahaga. Pastinya apa sahaja di depan mata akan nampak lazat.

Namun apabila azan dilaungkan dan kita mula menyantap satu-persatu juadah-juadah ini, kita akan merasa kenyang dan makanan akan terbiar sehingga esok hari, tiada siapa yang akan menghabiskannya.

Senario ini sangat sinonim dalam masyarakat kita bahkan di kebanyakan negara mempunyai kemewahan makanan dan wang ringgit.

Kadangkala saya lihat makanan berdulang di masjid juga tidak dapat dihabiskan dan akhirnya terbuang. Kita tidak sedar dalam kita membuat amal dan memburu pahala, kita sedang membuat sesuatu yang dimurkai oleh Allah s.w.t iaitu pembaziran.

Allah SWT telah berfirman di dalam Al-Quran:

“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah Al-Isra’, ayat 27)

Fahamilah hikmah dari pensyariatan berpuasa pada bulan Ramadan dengan sebaiknya. Di antara hikmah puasa disyariatkan kepada orang-orang yang beriman supaya kita dapat merasai apa yang dilalui golongan yang kurang bernasib baik, yang hanya kais pagi makan pagi.

Hayatilah ibadah puasa ini sebagai sesuatu yang boleh menginsafkan kita, sebagai satu cara untuk koreksi diri dan cubalah untuk beri yang terbaik dari Ramadan yang sebelum-sebelum ini.

Al-Imam Al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Ihya ‘Ulumuddin, puasa ini ada 3 peringkat;

Peringkat Pertama: Puasa Umum
Puasa peringkat ini, adalah puasa orang-orang yang hanya meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaj

Peringkat Kedua: Puasa Khusus
Di peringkat ini, mereka yang berpuasa bukan sahaja menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa sahaja, tetapi berusaha untuk menahan anggota-anggota lain seperti mata, mulut, telinga dan tangan dari perkara-perkara yang boleh melalaikan diri dan juga yang boleh mengurangkan pahala puasa

Peringkat Ketiga: Puasa Khusus Al-Khusus
Ini adalah peringkat tertinggi dalam berpuasa. Seseorang itu akan menjaga deria-deria nya dan juga akal dan hatinya daripada perkara-perkara yang mungkar, dan memenuhinya dengan zikrullah atau mengingati Allah.

Itulah peringkat-peringkat puasa yang disebut oleh Al-Imam Al-Ghazali.

Maka haruslah kita koreksi diri dan renungkan kembali tahap puasa yang kita sudah persembahkan kepada Allah setiap tahun. Adakah kita hanya memikirkan ingin makan dan minum pada waktu berbuka, atau kita cuba sedaya upaya untuk mempersembahkan ibadah pada kualiti yang terbaik.

Semoga Ramadan kali ini kita dapat mengubah trend ini dan marilah kita mulakan dari diri kita untuk berubah sikap ini dan menjadi lebih berhemah ketika berbelanja.

Sesungguhnya Ramadan bukanlah bulan untuk memenuhkan meja makan dengan juadah yang bermacam-macam, tetapi bulan untuk memenuhi waktu yang ada dengan amal ibadat.

Marilah kita bersikap rahmah kepada alam sekitar dan lebih-lebih lagi kepada diri sendiri.

 

Penulis Pegawai Pembangunan Belia di Masjid Al-Mukminin.
Artikel pertama kali dikeluarkan di ruang Hidayah di Berita Harian.

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>