Blog

Jangan Sampai Kufur dalam Kefakiran

Mengumpul kekayaan di dalam Islam

USTAZ MOHD KAMAL MOKHTAR

ISLAM tidak menghalang umatnya untuk mengumpul harta. Malah jika matlamat dan cara mengumpul kekayaan itu tidak melanggar batas-batas syara’, ia amatlah dituntut oleh Allah sesuai dengan sarananNya di dalam Surah Al-Jumuah ayat yang ke-10 yang bermaksud,

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta banyakkanlah ingatan kepada Allah (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” (Al-Jumuah:10)

Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa tiada halangan bagi umat Islam untuk mengumpul harta dan kekayaan, bahkan adalah digalakkan bagi mereka untuk mencari rezeki selepas ibadat dan tanggungjawab yang difardukan oleh Allah s.w.t telah sempurna ditunaikan.

Di dalam ayat yang lain, Allah juga telah memerintahkan para hambaNya agar berjalan di atas muka bumi ini demi memperolehi rezeki yang telah diberikan oleh Allah s.w.t. Hal ini jelas diterangkan di dalam Surah Al-Mulk ayat ke-15 yang bermaksud,

“Dialah yang menjadikan bumi bagimu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata penjurunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah kamu dibangkitkan hidup semula.”

Maksud berjalan di atas muka bumi adalah luas dan melingkupi bermusafir demi mencari rezeki seperti mana yang ditafsirkan oleh Ibn Kathir. Oleh itu, hendaklah kita  berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t.

Di dalam Islam, proses pengumpulan harta dan kekayaan mestilah melalui jalan yang diredai Allah di samping menjauhi perbuatan yang dilarang olehNya. Banyak ayat al-Quran dan hadith Nabi yang menekankan akan perlunya mencari harta yang halal melalui cara yang halal. Antaranya ialah firman Allah di Surah Al-Maidah ayat 88 yang bermaksud:

Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.

Adapun cara mengumpul harta yang tidak menurut syara’, ini dilarang di dalam Islam sebagaimana yang terkandung di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke-188:

“Dan janganlah di antara kamu memakan harta yang batil di antara kamu semua.”

Berdasarkan ayat Al-Quran tersebut, adalah haram bagi seseorang untuk memakan harta yang haram atau memperoleh harta secara haram. Justeru itu, pengumpulan harta dan kekayaan mestilah dinilai melalui  neraca  Syariah dengan cara membezakan di antara cara pengumpulan harta secara halal, haram ataupun syubhat.

Saranan mengumpul kekayaan juga mengambil kira kesan positif yang bakal diraih iaitu ianya dapat mengelakkan seseorang dari terjerumus ke lembah kemiskinan. Islam juga dengan jelas menegah umatnya dari jatuh ke lembah kemiskinan kerana kemiskinan itu mungkin akan menjuruskan seseorang untuk melakukan banyak keburukan. Antara keburukan tersebut adalah kekufuran. Ini berdasaran hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Maka sesungguhnya kefakiran itu hampir-hampir mengundang kekufuran”.

Kekufuran yang dimaksudkan di sini adalah kebarangkalian berlakunya pertikaian di kalangan manusia yang akan merasa iri dan tidak berpuas hati apabila ada di kalangan mereka yang senang dan ada pula yang susah dan pertikaian tersebut boleh merosakkan keyakinan mereka terhadap Allah yang memberi rezeki kepada hambaNya.

Di dalam sebuah hadis yang lain, Nabi ada berdoa untuk dijauhkan dari kefakiran. Lantas dapat difahami bahawa umat Islam perlu mengelakkan diri dari kemiskinan dan secara logiknya, mengumpul kekayaan tidaklah ditegah di dalam Islam.

Kekayaan di dalam Islam tidaklah terhad kepada kekayaan material semata- mata malah ia merangkumi kekayaan yang berbentuk spiritual maka ianya hendaklah diseimbangkan antara keduanya. Ini kerana hakikat sebenar kekayaan bukanlah dengan pemilikan harta yang banyak di dunia tetapi kekayaan sebenar di dalam Islam adalah dengan memperoleh ketenangan jiwa. Ini selaras dengan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:

Kekayaan bukanlah dengan banyaknya harta benda, akan tetapi kekayaan itu adalah kekayaan hati” (Hadis riwayat Bukhari Muslim).

Justeru itu, Islam tidak melarang umatnya dari mengumpul harta sebanyak mungkin. Islam cuma menegaskan bahawa  matlamat akhirat -dengan menunaikan apa yang diperintah oleh Allah s.w.t dan memperbanyakkan amalan sunat- perlu berjalan seiring dengan matlamat duniawi dalam proses pengumpulan harta kerana dunia ini sebenarnya tempat bercucuk-tanam bagi meraih ganjaran akhirat. Ganjaran akhirat ini juga dapat diraih melalui harta yang digunakan untuk kebaikan di jalan Allah.

Islam adalah agama yang komprehensif kerana selain memelihara maslahat untuk diri sendiri, ia juga menggalakkan umatnya untuk saling membantu sesama sendiri demi kebaikan semua.  Melalui pengumpulan harta, seseorang Muslim itu berupaya untuk membantu agamanya dan juga saudara-mara seIslamnya.

Terdapat banyak instrumen di mana harta boleh disalurkan demi maslahat semua dan antara instrumen tersebut adalah Zakat. Untuk harta yang telah cukup nisab dan haulnya, sebanyak 2.5% daripada harta itu mesti dibayar sebagai Zakat. Melalui instrumen ini, wujud konsep perkongsian di dalam Islam di mana terdapat hak orang yang memerlukan pada harta orang yang berada. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa pengumpulan harta dan kekayaan digalakkan di dalam Islam kerana ini dapat membantu mereka yang memerlukan dan pada masa yang sama, harta sang pemberi Zakat tidak akan berkurangan.

Selain Zakat, instrumen seperti sedekah dan wakaf juga dapat dimanfaatkan dengan adanya harta kerana kekayaan itu dapat disalurkan dari yang kaya kepada yang miskin. Dari sudut makro, ekonomi Islam dapat diperkukuh dengan memperkasakan keupayaan dan kemahiran penerima bantuan melalui harta yang diberikan kepada mereka.

Lantas, ini akan menghasilkan “win-win situation” di antara orang yang mempunyai harta kerana beliau akan mendapat ganjaran dari Allah manakala orang yang memerlukan harta dapat memperbaiki taraf hidupnya.

Dapat dirumuskan di sini bahawasanya Islam tidak melarang umatnya untuk mengumpul kekayaan bahkan ia mengalakkan umatNya untuk mengumpul harta selagi mana ia tidak bercanggah dengan syarak kerana terdapat banyak kebaikan yang dapat diperoleh dari pengumpulan harta baik dari segi mikro dan makro. Mengumpul kekayaan boleh diibaratkan sebagai pedang yang mempunyai dua mata (double-edged sword) kerana kesannya bergantung kepada cara seseorang itu mengumpul dan menggunakan harta tersebut.

Jika beliau mengumpul harta melalui cara yang halal dan membelanjakannya di jalan Allah maka hal itu digalakkan di dalam Islam manakala jika dia mengumpul harta secara haram dan menggunakannya untuk tujuan yang ditegah Syara’ makala perbuatan tersebut dilarang dalam Islam. Wallahua’lam.

 

Penulis ahli dalam Lembaga Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) dan Ahli Jawatankuasa Syariah, Maybank Islamic Berhad.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>