Blog

Korban untuk Berkorban. Apa hikmahnya?

Korban lahir syukur, bantu golongan susah.
OLEH USTAZ AHMAD IBRAHIM HASSAN

Kedengaran laungan takbir dan suara-suara kambing mengembek masih segar dalam ingatan. Kanak-kanak menyorak kegembiraan beramah mesra bersama haiwan yang jarang didapati di bandar itu tanpa menghiraukan kotor dan bau. Begitulah suasana riang gembira pagi Aidil Adha di beberapa masjid kota Singa beberapa tahun yang lalu.

Kini, pengalaman berkorban banyak bezanya. Antara yang ketara ialah kandang yang disiapkan ditutup dengan kain kanvas menghalang orang awam dari melihatnya. Orang yang menunaikan korban tidak lagi berpeluang untuk menyembelih haiwan tunggangan akhiratnya kerana penyembelih harus diiktiraf setelah menghadiri kursus tertentu. Hanya dua wakil yang diizinkan masuk ke kawasan penyembelihan dan menyaksikan upacara itu. Pengambilan foto sama sekali tidak dibenarkan.

Dengan syarat-syarat yang baru diperkenalkan pada tahun 2012 untuk memastikan kebajikan haiwan dijaga dan teknik-teknik yang baik untuk mengendalikan penyembelihan yang sempurna, angka ternakan yang diimport kelihatan merosot hampir 50% pada tahun itu berbanding 4,050 ekor pada tahun 2011. Apa yang dikhuatiri adalah hilangnya syi’ar Islam ini di Singapura.

Namun, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Apakah hikmah di sebalik cabaran kita sebagai umat Islam yang ingin menunaikan korban di Singapura?

  • Rahmah (kasih sayang) terhadap binatang

Arahan menutup kandang ternakan di masjid merupakan suatu langkah yang baik untuk menjaga hati dan perasaan haiwan tersebut. Seperti manusia, haiwan juga melepaskan adrenalin dan hormon yang mengakibatkan stress apabila berada di tempat yang baru serta dikerumuni. Kawasan khas penyembelihan juga memastikan yang upacara berdarah itu tidak disaksikan oleh ternakan yang lain.

  • Rahmah untuk sebahagian kaum

Dalam zaman Facebook, Instagram dan Twitter ini, beberapa golongan pemuda kelihatan ghairah untuk berkongsi berita kepada teman-teman. Tumbangnya seekor kambing serta darahnya terpancut keluar dengan segera dirakam untuk tontonan awam. Namun hashtag korban merupakan suatu perkara yang sensitif bagi sesetengah pihak. Ibadah yang pada asalnya mulia dilihat sebaliknya. Akhirnya si perakam dikecam. Ibarat menconteng arang ke muka, Islam yang dicela.

  • Mentaati pemimpin dalam kebajikan

Taat kepada pemimpin atau pemerintah adalah suatu kewajiban sebagaimana Allah s.w.t berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan Rasul(Nya) dan ulil amri di antara kamu.” (4:59). Selagimana arahan pemimpin itu tidak melanggar syariat, wajib kita mengikutinya. Melawan arahan hanya akan mengakibatkan kekecohan dan pertelingkahan yang tidak berkesudahan. Jika kita terkesan dengan cabaran-cabaran untuk berkorban di Singapura, kita harus bersyukur bahawa ibadah ini masih kekal diadakan mengikuti syarat-syarat sah berkorban.

  • Pengorbanan dalam berkorban

Ibadah korban adalah amalan yang sangat digalakkan. Dengan berkorban, ia dapat menanamkan perasaan kasih sayang antara si kaya dengan si miskin. Ibadah ini juga dilakukan demi memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim (alaihissalam) yang sanggup menyahut perintah Allah s.w.t. untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail (alaihissalam). Pengorbanan yang kita lakukan iaitu mengikuti syarat yang dikenakan sangat kecil dibandingkan dengan pahala kebaikan yang Allah janjikan. Adakah berbaloi kita meninggalkan sesuatu perkara yang besar hanya kerana suatu perkara yang kecil?

  • Membantu masyarakat Islam di negara lain

Oleh kerana tempahan ternakan untuk diimport menjadi terhad, semakin ramai asatizah Singapura kelihatan mengendalikan ibadah korban di negara-negara seperti Indonesia, Kambodia, Thailand, Mesir dan Arab Saudi. Ini memberi peluang kepada lebih ramai orang Singapura menunaikan ibadah korban pada tahun tersebut sekaligus membantu golongan fakir miskin dan anak-anak yatim kalangan masyarakat Islam di negara berkenaan.

Alhamdulillah, masyarakat Islam Singapura tidak melihat cabaran ini sebagai penghalang untuk berkorban di Singapura. Walaupun dikenakan berbagai syarat, tempahan sebanyak 3,700 ternakan dari masjid-masjid yang menawarkan perkhidmatan korban penuh ditempah dengan pantas.

Ternyata pengalaman dan suasanan Aidil Adha era ini berbeza dengan yang lalu. Tetapi niat dan faedahnya tetap sama bahkan ganjarannya mungkin berganda disebabkan cabaran yang harus ditempuh. Begitulah sepatutnya jiwa masyarakat Islam Singapura yang harus diteladani: melihat cabaran sebagai peluang untuk dimanfaatkan bukan untuk mengundur diri.


Penulis seorang Pengurus Program di Persatuan Guru-Guru Al-Quran (PERGERAQ).
Artikel pertama kali disiarkan di Berita Harian dalam ruangan Hidayah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>