Blog

Matlamat Zakat Bentuk Akhlak Umat

DR FEIRUL MALIQ INTAJALLE

ZAKAT disyariatkan dalam bentuk ibadah yang unik. Keunikan ibadah zakat tidak terhad kepada pelaksanaan kewajipan ibadah itu semata-mata, malah memberi kesan masyarakat Islam secara amnya.

Hal tersebut mendorong sebahagian ulama mengutamakan ibadah zakat daripada ibadah puasa dalam susunan rukun Islam itu sendiri, yang mana perintah ibadah zakat disebut sebanyak 58 kali di dalam Al-Quran – 32 kali disebut secara sendirian dan 26 kali bersama ibadah solat seperti yang termaktub dalam Surah Al-Hajj, ayat 78, yang bermaksud:

“Oleh sebab itu, dirikanlah sembahyang dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu.”

Dalam ayat yang lain, seperti Surah Al-Mu’minun, ayat 1 hingga 4, yang bermaksud:

“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu).”

Sungguhpun susunan dalam rukun Islam bukanlah suatu perkara yang penting untuk dibahaskan, ibadah zakat antara bentuk kekayaan yang berpotensi menyumbang kepada kekuatan ekonomi masyarakat Islam.

Ia terbukti dalam sejarah Islam yang mana diriwayatkan bahawa semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Khalifah telah mengirimkan sepucuk surat kepada pegawainya, Urwah bin Muhammad, untuk membahagikan zakat kepada golongan fakir Yaman.

“Lantiklah jalan menuju haji, petugas yang diredai rakyat dan kamu juga reda atas agama dan amanahnya, sehingga mampu menguatkan yang lemah dan memperkayakan yang fakir…”

Dalam riwayat lain, seorang lelaki bertemu dengan Khalifah, lalu berkata:

“Bahagikan ini kepada orang yang kamu anggap fakir.”

Khalifah Umar terus melakukan itu sampai dia pulang dengan membawa harta yang tersisa. Saat itu, tidak ditemui lagi orang yang berhak menerima zakat sehingga harta itu dibawa kembali ke Baitulmal.

Sepanjang pemerintahan Khalifah Umar selama dua tahun setengah, beliau kembali ke rahmatullah setelah membuat rakyat kaya dengan membawa harta yang melimpah-ruah. Kesungguhan Khalifah turut diperakui Yahya bin Said, yang merupakan salah seorang gabenor ketika itu.

Kata Yahya:

“Saya pernah diutus Umar bin Abdul Aziz untuk memungut zakat ke Afrika. Selepas memungutnya, saya berniat mahu memberikannya kepada orang fakir, tetapi saya tidak menjumpai seorang pun.

“Khalifah Umar telah menjadikan semua rakyat pada waktu itu kaya. Akhirnya, zakat itu saya putuskan membeli hamba sahaya, lalu memerdekakannya.”

Berdasarkan contoh di atas timbul persoalan kaitan hidup masyarakat Islam yang ditadbir pemimpin Islam dengan realiti kehidupan masyarakat Islam di Singapura.

Sekiranya kita menghayati roh di sebalik pensyariatan zakat, kita akan menyedari hakikat bahawa harta yang dimiliki hanya pinjaman daripada Pemilik yang sebenar.

Sebahagiannya perlu dibahagikan kepada mereka yang berhak ke atasnya tanpa mengira tempat yang kita diami.

Sedangkan Pentadbir dan Pemerintah sebenar, iaitu Allah swt, adalah Tuhan sekalian alam dengan kebijaksanaan-Nya, Allah telah mewujudkan sumber kewangan dan kekayaan sejak 1,400 tahun lalu bagi masyarakat Islam mengusahakannya tanpa perlu menunggu bantuan pemerintah.

Alhamdulillah, masyarakat Islam Singapura hari ini terkenal dengan sikap pemurah yang sudi menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk kepada mereka yang memerlukan, sama ada di dalam atau luar negara.

Dalam hal zakat, masyarakat Islam Singapura secara amnya menunai tanggungjawab zakat mereka setahun sekali dalam Ramadan. Ia dikenali sebagai zakat fitrah, seperti yang diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud:

“Zakat fitrah wajib atas setiap orang merdeka, hamba, lelaki, perempuan, kecil, besar, miskin atau kaya.” (Riwayat Ahmad)

Walaupun jumlah zakat yang dikeluarkan itu kecil, ia memberi kesan kepada mereka yang berpuasa dan membantu golongan fakir miskin, sepertimana yang diriwayatkan Ibn Abbas, yang bermaksud:

“Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitrah bagi tujuan menyucikan orang berpuasa daripada perkara buruk yang tidak berfaedah dan sebagai bantuan kepada fakir miskin.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Maka, tidak hairanlah apabila Syeikh Yusuf al-Qardhawi mengemukakan pandangan yang menarik berkenaan zakat fitrah.

Menurut beliau, syariat Islam sebenarnya mempunyai objektif akhlak dan pendidikan, di sebalik kewajipan zakat fitrah, baik terhadap orang kaya atau miskin.

Ia melatih orang Islam menyumbang, sama ada dalam keadaan senang ataupun susah, seperti firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 133 hingga 134, yang bermaksud:

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa. Iaitu orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.”

Walaupun seseorang Muslim itu berada dalam keadaan kekurangan sekalipun, sikap menyumbang dan mengutamakan kebajikan orang lain akan menghasilkan kemanisan kerana “sebaik-baik sedekah itu ialah kadar sedaya upaya orang yang tidak mampu”. (Hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah)

Dalam hal ini, setiap daripada kita yang menyumbang seharusnya menjadi seseorang yang lebih merendah hati, bersyukur atas kelebihan yang diberikan-Nya, sedia membantu tanpa mengharapkan balasan dan tidak mempersoal bantuan yang dihulurkan kepada mereka yang tidak pernah menghargai kita.

Mereka yang menerima bantuan pula hendaklah senantiasa memanfaatkan wang yang diperolehi dengan penuh amanah, mensyukuri setiap rezeki yang diperolehi dan mempertingkat diri dalam usaha menyumbang kepada ekonomi masyarakat.

Ini dilakukan demi menyahut seruan Rasulullah yang bermaksud:

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling terbaik memberi manfaat kepada manusia.”

Moga masyarakat Islam Singapura dapat memahami dan menjiwai pensyariatan zakat melebihi sekadar ibadah yang wajib.

Bahkan, menjadi antara saluran memperkukuh jalinan sosial dengan melahirkan masyarakat lebih progresif dan menjadi contoh kepada masyarakat lain.

Penulis pengurus dakwah Masjid Al-Muttaqin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>