Blog

Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya

Oleh Puan Zaleha Ahmad

Dalam mendidik anak-anak, ramai pakar pembangunan kanak-kanak setuju bahawa cara untuk mendidik dan membina keperibadian yang baik di kalangan kanak-kanak bermula dari kecil, terutama sekali di waktu pra-sekolah. Dalam lingkungan usia ini, perangai dan perwatakan mereka lebih senang dibentuk dan dipupuk dengan nilai-nilai yang positif dan murni. Mereka juga senang belajar dengan melihat dan meniru orang-orang di sekeliling mereka, terutama sekali ibu bapa.

Menanam nilai-nilai positif seperti kejujuran, keberanian, bertanggungjawab, keihsanan, amanah, berbaik sangka, ramah, bertolak ansur dan hormat-menghormati selalunya lebih berkesan bila anak-anak masih kecil berbanding bila mereka sudah di peringkat remaja.

Dalam masyarakat hari ini di mana pencapaian bidang akademik diberikan tekanan, kadangkala ibu bapa lupa bahawasanya membina sifat-sifat yang baik juga perlu.  Ibu bapa adakalanya memberi penghargaan pada pencapaian akademik yang baik tetapi lupa untuk memberi penghargaan yang sama apabila anak itu berbuat baik atau menunjukkan akhlak yang mulia. Akhlak dan sifat yang baik yang selalunya dapat membantu seseorang itu membuat keputusan yang sesuai dan betul untuk masa depannya dan juga mungkin dapat melindungi mereka dari anasir dan gejala yang merosakkan.

Rumah adalah tempat yang paling sesuai untuk ibu bapa membesarkan anak-anak yang berwibawa dan berakhlak mulia.  Untuk membina akhlak yang baik untuk anak-anak, ibu bapa tidak perlu untuk mencapai tahap seorang pakar psikologi ataupun pakar dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Setiap ibu bapa memerlukan sikap yang terbuka, ikhlas, positif, optimis dan minat menimba ilmu kemahiran, tidak kira apa jua tahap pendidikan mereka.

Ibu bapa harus sedar bahawa guru ataupun pendidik yang paling utama untuk anak-anak mereka adalah diri mereka sendiri. Bukan pembantu rumah mahupun guru.

Ibu bapa harus sedar bahawa anak-anak bukan hanya belajar dengan cara diberitahu, tetapi mereka banyak belajar nilai-nilai kehidupan melalui pemerhatian mereka dan meniru cara ibu bapa dan orang-orang yang paling dekat dengan mereka.  Jadi cara yang terbaik untuk ibu bapa mengajar anak-anak mereka ialah dengan menjadi contoh terbaik ataupun role model.  Kelakuan, percakapan, budi bahasa dan juga pemikiran anak-anak selalunya mencerminkan ibu bapa mereka.  Usah terperanjat jika ada orang menegur dan memberitahu anda bahawa cara anak anda berinteraksi dengan rakan-rakan mereka tidak ubah seperti anda.

Tetapi harus diingat, usah memberi mesej yang bercanggah kepada anak-anak. Misalnya, ibu bapa selalu menekankan bahawa mereka mesti menepati janji, tetapi mereka sendiri selalu tidak menepati janji bila berjanji dengan anak-anak ataupun saudara-mara.

Salah satu waktu yang terbaik untuk ibu bapa menekankan dan memupuk nilai-nilai yang baik untuk anak-anak ialah di bulan Ramadhan. Sikap-sikap menahan diri, bersabar, keihsanan dan murah hati boleh diterapkan pada anak-anak kecil ini agar mereka memahami masalah dan kesempitan yang dilalui orang-orang yang kurang bernasib baik.

Selain dari itu, beberapa aktiviti yang dilakukan pada bulan Ramadhan juga boleh mengeratkan hubungan antara keluarga. Antaranya ialah pada waktu berbuka puasa. Waktu berbuka adalah waktu yang paling gembira bagi anak-anak yang baru belajar berpuasa. Untuk mengalihkan perhatian mereka daripada terasa lapar dan dahaga, ibu bapa boleh mengajak anak-anak sama-sama menyediakan juadah untuk berbuka. Lebih seronok lagi jika anak-anak yang diberikan kepercayaan untuk menentukan juadah untuk berbuka.

Bagi mereka yang lebih kecil, mereka boleh diajar untuk menghidangkan makanan ataupun menyiapkan meja untuk berbuka. Mereka juga boleh diajak untuk menghantar makanan kepada jiran-jiran agar mereka dapat juga menjalin tali silaturahmi dengan jiran-jiran yang terdekat.

Satu lagi aktiviti yang mungkin ibu bapa boleh timbangkan ialah sembahyang berjemaah untuk solat lima waktu dan juga solat sunat terawih. Bagi anak-anak yang masih bersekolah, mungkin ibu bapa dapat menjalankan ibadah ini di rumah bersama ahli keluarga masing-masing. Berikan kata-kata semangat dan galakan pada anak-anak yang gigih menjalani ibadah ini agar mereka berasa senang dan gembira. Jika anak-anak yang sudah menghafal surah-surah yang mudah, mungkin ini adalah masanya untuk ibu bapa memberikan mereka peluang untuk menjadi imam sekali-sekala untuk memberikan pengiktirafan di atas keupayaan mereka menghafal dan juga potensi menjadi seorang ketua keluarga.

Selain dari itu, selang-selikan hubungan dengan gurauan dan ketawa. Kisah-kisah yang lucu dan positif pasti menarik minat anak-anak untuk berbual dan berkomunikasi dengan ibu bapa. Anak-anak akan berasa bahagia apabila mereka dapat ketawa bersama ibu bapa dan ahli keluarga mereka. Ini pasti mengeratkan lagi hubungan antara keluarga.

 

Penulis adalah Pengarah Pusat Hab Perkahwinan/INSPIRASI@AMP.  Penulis juga adalah kaunselor perkahwinan yang bertauliah dan mempunyai pengalaman lebih dari 20 tahun.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>