Blog

Menanam Minat Generasi Muda Terhadap Islam

Oleh Ustaz Ridhwan Mohd Basor

PENDIDIKAN Islam merupakan asas kepada keutuhan keimanan individu. Untuk menjadi seseorang mukmin yang berjaya, ilmu pengetahuan termasuk ilmu agama, perlu dimiliki.

Pengamalan ajaran Islam memerlukan kefahaman kepada pelbagai aspek keagamaan, dari sudut ritual, sejarah, falsafah dan aspek-aspek lain yang bersangkutan. Keperluan untuk memahami ibadah lebih dari aspek ritual akan memperkayakan lagi penghayatan kepada ibadah tersebut. Selain dari mempelajari rukun-rukun dan hukum ahkam perlaksanaan sesuatu bentuk ibadah, kita juga diajak memahami sejarah serta falsafah di sebalik syariat ibadah tersebut.

Misalnya, dalam syariat ibadah puasa, selain dari memahami hukum fiqh berkenaan dengan perlaksanaannya, seseorang dapat diperkayakan dengan mengetahui sejarah syariat ibadah ini. Sejarah menetapkan bahawa ibadah puasa bukan hanya ekslusif kepada umat Islam, malah amalan berpuasa turut diamalkan oleh umat terdahulu sebelum kedatangan risalah Rasulullah s.a.w.

Begitu juga, dengan meneliti objektif amalan berpuasa lebih mendalam, kita akan dapati ia mempunya dua dimensi, satu berupa hubungan peribadi kita dengan Allah s.w.t., dan satu lagi ialah hubungan kita sesama manusia. Dalam kita meneruskan fadilat berpuasa dalam bulan Syawal ini dengan amalan ‘puasa enam’ dalam usaha kita mendapatkan kerbekatan serta penerimaan Allah kepada ibadah puasa yang diamalkan sepanjang Ramadan lalu, terdapat dimensi sosial yang bertitik tolak daripada ibadah puasa. Di dalam Surah Ali Imran ayat 103, Allah s.w.t berfirman:

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai….”

Dengan ilmu  pengetahuan agama yang meluas dan mendalam, seseorang dapat memperkayakan pengahayatan kepada pengamalan syariat Islam. Dengan bekalan ilmu agama yang mencukupi, seseorang dapat menilai sesuatu yang hak dari yang batil.

Allah s.w.t berfirman di dalam Surah Az-Zumar ayat 7, yang bermaksud:

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadah pada waktu malam Dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

Kepentingan menimba ilmu di dalam Islam adalah sangat tinggi. Wahyu pertama yang diturunkan Allah s.w.t kepada umat Nabi Muhammad s.a.w menyeru umat manusia untuk mendalami ilmu pengetahuan menerusi gagasan Iqra’. Konsep ilmu yang dijelaskan Nabi s.a.w bertujuan mendekatkan kita Allah s.w.t. Dengan ilmu yang luas dan mendalam, seseorang akan dapat mempertingkatkan lagi keimanan kepada Allah s.w.t.

Hari ini, terdapat pelbagai wadah pendidikan Islam. Lanskap pendidikan Islam juga kian berubah dengan mengambil kira citarasa serta konteks masyarakat Islam di Singapura. Jika dulu, pendidikan Islam hanya didapati menerusi kuliah-kuliah harian, syarahan mingguan ataupun ceramah-ceramah perdana yang dianjurkan masjid-masjid serta pertubuhan-pertubuhan Islam, kini terdapat kelas-kelas berstruktur yang dianjurkan bagi menepati tuntutan berbeza para pelajar.

Untuk golongan kanak-kanak hingga belia, terdapat program aLIVE yang menyediakan kelas-kelas agama bagi para pelajar sekolah nasional berusia antara lima hingga 20 tahun. Program aLIVE adalah sebuah program menyeluruh yang bertujuan mencetus minat anak-anak muda supaya menjadikan Islam sebagai gaya hidup atau lifestyle.

Program aLIVE terbahagi kepada empat peringkat umur iaitu Kids (kanak-kanak lima hingga lapan tahun); Tweens (pra-remaja sembilan hingga 12 tahun); Teens (remaja 13 hingga 16 tahun); dan Youth (belia 17 hingga 20 tahun).

Kelas madrasah mingguan aLIVE menitikberatkan pendidikan agama melalui empat tema utama iaitu: Tauhid dan Fiqh; Sirah dan Tamadun Islam; Pembacaan dan Pemahaman Al-Qur’an; serta Akhlak dan Kemahiran Hidup. Program yang dikendalikan di lebih 30 masjid di serata Singapura ini menggunakan kaedah interaktif seperti aktiviti praktikal, lawatan luar, pembelajaran melalui pengalaman (experential learning), perbincangan dan projek berkumpulan.

Kurikulum serta kandungan pelajaran dalam program ini dilakar khas mengikut keperluan dan kebolehan berfikir yang berlainan bagi setiap peringkat umur. Sebagai contoh, topik berkenaan akil baligh diperkenalkan secara ringkas pada usia sembilan tahun dan kemudian akan dibincangkan dengan lebih mendalam apabila mereka mencecah usia 12 tahun. Ini dilakukan supaya topik tersebut dapat disampaikan secara berperingkat dan memberikan kesan yang lebih mendalam kerana mengikut kesesuaian dan kematangan pelajar. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program ini, bolehlah lunsuri www.alive.sg

Bagi golongan dewasa, program pembelajaran Islam dewasa (Adil) yang dibangunkan Pejabat Mufti (OOM) bertujuan memperkayakan pengalaman pembelajaran Islam. Program ini dibangunkan untuk memberi pilihan lebih luas bagi golongan dewasa Muslim mendapatkan pendidikan Islam dalam sekitaran yang berstruktur dan modular, sekaligus menyediakan lebih banyak peluang bagi berinteraksi dan mendekati para asatizah.

Adil menawarkan kelas-kelas modular berstruktur merangkumi topik-topik pengajian Islam yang luas meliputi peringkat asas hingga lanjutan. Siri Muqaddimah (peringkat asas) bertujuan menyediakan pelajar dewasa dengan pengetahuan Islam asas. Ini merangkumi modul Insan Pilihan yang mengajak para pelajar kepada penghayatan kepada nilai-nilai dan keperibadian Rasulullah s.a.wWarisan Kenabian yang memberikan fokus kepada pengajian kepada ilmu Al-Quran dan Hadith, Manual Muslim yang menerangkan mengenai hukum-hukum asas yang terkandung dalam Rukun Islam dan Cahaya Keimanan yang mengupas mengenai impak mempercayai Rukun Islam dalam kehidupan individu.

Bagi modul peringkat pertengahan pula, bengkel Fiqh Bagi Pesakit mengupas bagaimana seseorang Muslim dapat meneruskan amal ibadah ketika mereka kurang sihat, seperti bagaimana mengambil wudu’ dengan anggota badan yang berbalut, hukum-hukum puasa ketika sakit, begitu juga kupasan fatwa-fatwa berkenaan bio-perubatan. Bengkel Fiqh Musafir pula mengupas isu-isu yang dilalui seorang Muslim apabila melancong.

Program ini dikelolakan asatizah yang dipilih khas dan terlatih. Modul-modul pula mengambil kira bahan rujukan tradisional dan aplikasi pengetahuan Islam dalam kehidupan seharian seorang Muslim. Program ini menyediakan peluang dan wadah yang baik untuk mempelajari, memahami dan memperkaya diri dengan pengetahuan Islam. Bagi mereka yang mempunyai minat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai program ini bolehlah lunsuri www.adil.sg.

 

Penulis eksekutif kanan di Pejabat Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura.                                                         

                                                                                                                                                                                                                        

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>