Blog

Ramadan Mendidik Menghormati Kepelbagaian

Oleh Dr Mohammad Hannan Hasan

KEPELBAGAIAN kepercayaan, pandangan dan kcenderungan adalah lumrah kehidupan. Ramadan mendidik jiwa dan minda untuk menghargai perbezaan dan kepelbagaian ini dan menghormatinya dengan rasa adab yang tinggi. Jika Allah inginkan manusia semua seragam dan sependapat tentunya Dia telah jadikan demikian. Namun, Hikmat Ilahi menginginkan sebaliknya. Ia sebagai ujian kepada manusia menguruskan minda dan hati; menghormati dan menyayangi orang lain walaupun – bahkan kerana – mereka berbeza dengan kita.

Ini juga memberi kita peluang mendekatkan diri kepada Allah dengan menundukkan ego diri, kesombongan dan takbur bahawa kita lebih baik dan lebih betul dari orang lain. Agar kita diberi rahmat Allah kerana adab yang tinggi, menginsafi bahawa kebenaran mungkin pada orang lain, dan bukan pada diri kita. Setiap kali Imam al-Shafi’i berhujah dengan orang lain beliau sentiasa berharap kebenaran datang dari orang lain. Beliau juga pernah berkata, pandangan aku adalah betul namun kemungkinan silap; dan pandangan orang lain adalah silap namun kemungkinan betul.

Ada beberapa sebab ketibaan Ramadan memberi peluang untuk kita melatih diri menghargai dan menghormati kepelbagaian dan perbezaan ini, demi meraih rahmat dari Allah.

Pertama, Ramadan adalah bulan ilmu. Pada bulan Ramadan diturunkan wahyu pertama. Wahyu pertama ini adalah perintah untuk membaca – Iqra’. Hilang nilai adab, kesombongan dengan pandangan diri sendiri, dan kecelaruan pemikiran ini disebabkan oleh kejahilan dan kecetekan ilmu. Kejahilan mengenai tradisi ilmiah Islam yang kaya dan pelbagai hanya mendedahkan kecetekan diri sebenarnya. Ketika kita hanya mengetahui pandangan kita, dan ketika kita menyangka pandangan kita sahaja yang tepat, ketika kita jahil akan pandangan-pandangan lain, ketika itulah kita mula menyombong.

Seringkali kita melihat pandangan lantang mengkritik pandangan lain disebabkan oleh kejahilan kita sendiri akan pandangan-pandangan lain, atau kecetekan ilmu kita sendiri menilai pandangan-pandangan ini. Atau kita hanya memahami dan berpegang dengan pandangan guru kita sahaja, dan sebenarnya tidak memiliki keupayaan menilai pandangan orang lain, apatah lagi ulama lain. Ini mengakibatkan rasa taasub dan rasa eksklusif, atau rasa kita sahaja yang betul, dan yang lain salah.

Amat mendukakan sekali ketika ada yang lantang mengkritik ulama-ulama silam seperti Hujjatul Islam al-Ghazali, Sheikhul Islam Ibn Taymiyyah, Ibn Rushd, dan lain-lain, sedangkan “pengkritik” ini tidak memiliki bahasa dan keupayaan memahami, menganalisis dan menilai pandangan-pandangan para ulama ini. Mereka tidak memahami konteks masa dan tempat di mana para ulama itu memberikan pandangan mereka. Mereka tidak memahami dan memiliki alat-alat menilai teks-teks sejarah. Bahkan mereka mungkin hanya menukil guru mereka atau pandangan ulama lain mengenai pandangan lain secara selektif tanpa memahami konteks hujjah-hujjah mereka.

Para ulama ini pula tidak hidup hari ini untuk mempertahankan pandangan mereka. Saya yakin jika mereka masih hidup di zaman ini mereka akan memberi pandangan berbeza, sesuai dengan konteks dan realiti hari ini. Ramadan mengingatkan kita untuk terus membaca. Ramadan memerintah kita meraih ilmu secara berterusan. Jika tidak, rendahkanlah diri.

Kedua, Ramadan mendidik kita menjaga lisan dan hati ini. Berpuasa bukan hanya menahan diri dari makan dan minum. Berpuasa ialah menahan diri dari perkara sia-sia dan berkata kesat atau celupar (rafath). Maka, jika ada yang mengeji atau melukai kerana kejahilannya, kita diperintah untuk menahan diri dan katakan: sesungguhnya aku berpuasa.

Janganlah kamu mencaci orang lain; dan jika kamu dicaci, katakanlah sesungguhnya aku berpuasa. Berpuasa sebenarnya adalah perisai. Demikianlah pesan-pesan Rasulullah SAW kepada yang berpuasa. Kondisi kita berpuasa dalam erti sebenar melatih jiwa dan diri menjaga adab lisan, hati dan minda. Dalam konteks masa kini termasuk menjaga jari jemari ketika mengetik papan kekunci (keyboard) kita. Ambil lah peluang Ramadan ini untuk melatih diri, jiwa dan minda agar rendah diri dan beradab.

Ketiga, Ramadan bulan pembersihan jiwa, atau tazkiyah nafs. Berpuasa, bertilawah, terawih, tahajud, dan berbagai lagi amalan-amalan; ditambah lagi menghindar diri dari amalan sia-sia yang merosakkan ibadah puasa kita, semua ini menjurus kepada pembentukan rasa takwa kepada Allah. Di saat persengketaan dan perpecahan yang dibenci, rasa takwalah yang akan menyelamatkan kita dari terjerumus dalam persengketaan dan perpecahan ini.

Keempat, mengeluarkan zakat. Pada umumnya kita saksikan dorongan yang tinggi untuk mengeluarkan zakat pada bulan Ramadan. Nilai zakat bukan hanya pada sudut kebendaan membantu orang lain, tetapi yang lebih penting juga ialah pentarbiyahan diri pengeluar zakat. Zakat bererti pemurnian. Zakat juga bererti pertumbuhan. Dengan berzakat seseorang memurnikan jiwa dan ego dengan melepaskan apa yang dimiliki.

Dengan melakukan demikian sebenarnya bermakna pertumbuhan, dan bukan kekurangan. Ia melatih diri melepaskan sesuatu yang disayangi, demi kemaslahatan yang lebih besar.

Kondisi-kondisi yang disebut di atas menjadikan Ramadan bulan yang sesuai untuk membangunkan diri yang berjiwa tinggi, berhemah dan beradab.

Ramadan adalah bulan melatih jiwa dan minda. Ini amat diperlukan dalam kita berhadapan dengan kepelbagaian dan perbezaan pendapat.

Dalam laporan badan pengkaji dunia Pusat Kajian Pew pada April 2014, Singapura disenaraikan di tangga pertama sebagai negara dunia paling ragam beragama. Keragaman ini sebenarnya bukan hanya dari segi agama-agama dunia, bahkan intra-agama atau orientasi-orientasi keagamaan dalam Islam sendiri dapat diamati. Fenomena ini tidak boleh ditolak dengan Singapura menjadi bandar global dan bandar kosmopolitan. Mereka yang memilih untuk datang ke Singapura sebagai pusat pelancong, tempat bekerja dan menetap juga semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Mengikut badan pengkaji pelancongan Halal Dunia Crescent Rating dengan kerjasama Mastercard, Singapura disenaraikan sebagai pusat pelancongan Islam tertinggi antara negara-negara bukan majoriti Islam, bahkan hampir setara dengan negara-negara majoriti Islam dalam Indeks Global Pelancongan Islam (Global Muslim Travel Index, atau GMTI). Kedatangan dan kemasukan ini bermakna pengayaan keragaman, kepelbagaian dan perbezaan.

Ini harus dilihat secara positif. Sememangnya sejarah Islam sepanjang 15 kurun ini bukan satu sejarah yang homogen atau seragam. Ia adalah sejarah kepelbagaian dan keragaman. Masyarakat Islam selalu berada dalam situasi sosial dan beragama yang beragam dan berbagai. Menafikan dan usaha menghapuskan keragaman ini hanyalah merupakan usaha yang bercanggah dengan tabiat Islam dan masyarakat Islam sepanjang sejarah.

Ramadan melatih diri kita untuk menimba ilmu dan dengannya menghargai dan menghormati kepelbagaian dan perbezaan. Ia melatih jiwa menundukkan rasa ego dan takabbur, dengan menghormati orang lain dan perbezaan-perbezaan ini. Ia melatih kita menjaga lidah dan jari jemari dari mencaci, mencerca dan mengkritik apatah lagi dengan tanpa ilmu dan kefahaman. Melakukan demikian hanya mendedahkan kejahilan dan kekalutan jiwa dan minda kita sendiri. Marilah kita bertakwa sesuai dengan matlamat berpuasa.

 

Penulis Naib Dekan Akademi Muis.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>