Blog

Zakat Memperkasa Umat, Memakmurkan Hayat

Oleh Ustaz Abdul Manaf Rahmat

ALLAH berfirman dalam surah At-Taubah, ayat 103-104. Yang ertinya: “Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka dengannya dan doakanlah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Tidaklah mereka mengetahui, bahwasanya Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan menerima zakat dan sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Zakat adalah rukun Islam yang ketiga. Setiap orang Islam yang mempunyai kekayaan yang berlebihan diwajibkan menunaikannya sebagai suatu kepatuhan dan ketaatan teguh terhadap Allah. Dengan mendasar ke bawah ia juga menumbuhkan sifat kepedulian terhadap keadaan sosial masyarakat yang berada di sekelilingnya. Zakat suatu ibadah yang penting dalam mewujudkan keadilan sosial, membina  kejiwaan dan sikap bertenggang rasa untuk menghapuskan jurang antara ‘golongan kaya’ dan ‘golongan miskin’.

Harta kekayaan adalah di antara sekian banyak daripada nikmat-nikmat Allah yang terbentang luas. Apa yang kita miliki hanya ‘titipan’ harus mengembalikannya sesuai dengan tujuan asalnya. Jadi, harta kekayaan yang dimiliki bukan milik mutlak seseorang atau perorangan, tetapi ada hak orang lain yang berhak mengecapi secara bersama di dalamnya sesuai  dengan tuntutan syarak seperti menunaikan zakat, sedekah, infak, wakaf, hibah dan sebagainya.

Mereka yang telah menunaikan zakat bermakna harta kekayaan yang dimilikinya telah disucikan atau dibersihkan. Ianya akan menimbulkan rasa tenteram di dalam hati kerana dapat menjalankan pengabdian kepada Allah dan Rasul, dengan menyempurnakan perintah tersebut sepenuh jiwa tanpa ragu-ragu mengharapkan keredaan Allah.

Justeru itu, para muzakki (orang yang mengeluarkan zakat) akan didoakan balasan yang berganda daripada Allah dengan limpahan kurnia yang berterusan, melalui apa saja bentuk rezeki yang baik, barakah dan mengalir pahalaNya hingga akhirat kelak.

Menurut Islam kewajipan menunaikan zakat bertujuan menyucikan, membersihkan dan  meningkatkan pertumbuhan harta. Adapun yang dimaksudkan dengan pembersihan adalah menunaikan zakat membersihkan sang pemiliknya daripada sifat kikir atau bakhil dan mempunyai rasa cinta yang berlebih-lebihan terhadap harta kekayaan.

Penyucian pula bermaksud menguatkan diri sang pemilik dengan sifat-sifat suka pada melakukan kebaikan,  menyuburkan dan mengembangkan harta kekayaan. Dalam konteks dunia maju kini harta kekayaan yang meliputi wang simpanan, pelaburan saham, emas dan perak, insurans, penternakan, pertanian, perladangan, pelbagai jenis perniagaan, harta pusaka dan lain-lain.

Ajaran ini menegaskan bahawa harta kekayaan duniawi hendaknya boleh dipunyai oleh sesiapa saja dengan adil saksama dan merata. Dengan demikian harta kekayaan beredar luas tidak hanya dikuasai oleh sesebuah golongan tertentu.

Sekiranya harta kekayaan dimiliki dan dikuasai oleh golongan tertentu sudah pasti menimbulkan keresahan yang dapat membawa kepada perseteruan dan perpecahan yang merugikan sesebuah masyarakat itu. Malah, mereka yang enggan membayar zakat mendapat ancaman keras daripada Rasulullah s.a.w. berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn ‘Umar r.a.  hanyasanya Nabi s.a.w. bersabda:

“Saya dititahkan untuk memerangi manusia hingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Seandainya mereka telah memenuhinya bererti mereka telah memelihara darah dan harta mereka daripadaku, kecuali melanggar aturan Islam dan perhitungan mereka berserah kepada Allah.”  

Oleh itu, dalam memastikan agihan zakat dapat dijalankan dengan penuh keadilan dan kesaksamaan, perlulah diadakan suatu sistem yang rapi lagi baik, dapat dikelola dan diurus secara profesional demi menyempurnakan amanah yang diberikan, agar tujuan daripada zakat itu berjalan mulus  dan orang yang berhak menerimanya mampu meneruskan hidup terangkat kedudukan ekonomi mereka lebih sejahtera.

Agihan kepada asnaf-asnaf yang ditetapkan oleh syarak sekali gus memperkasa diri mereka dapat hidup berdikari dan keluar daripada lingkaran ‘kemiskinan’ yang menjadikan mereka merdeka untuk meningkatkan mutu dan mencerahkan masa depan kehidupan mereka.

 

Asnaf-asnaf penerima zakat

Allah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui, Dia menciptakan manusia dengan berbagai tingkatan kedudukan manusia ada yang kaya dan miskin, yang punya dan yang kurang atau tak punya. Kesemua perbezaan itu mempunyai satu tujuan iaitu Allah mahu menguji hambaNya yang benar-benar beriman atau berdusta dengan pengakuan keimanannya.

Agihan zakat ditujukan kepada golongan-golongan yang layak menerima menurut ukurtara yang disebutkan dalam surah At-Taubah, ayat 60, yang ertinya: Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu´allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka (yang putus bekalan) yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

  • Golongan fakir. Golongan yang berada di bawah garisan kemiskinan yang melebar. Memerlukan banyak sokongan agar mencapai kecukupan dalam kehidupan. Menyiapkan mental mereka agar keluar daripada lingkaran kefakiran dan mahu berubah, melengkapkan diri dengan pengetahuan terkini.
  • Golongan miskin. Golongan ini perlu diperkasakan diri mereka dengan memantapkan penghasilan mereka untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik.
  • Amil atau Pengurus zakat. Golongan yang mengurus dan memungut zakat memastikan kewajipan agama ini dapat dilaksanakan dengan baik sesuai dengan panduan agama.
  • Mualaf yang dibujuk hatinya. Golongan ini sangat perlu disokong dalam usaha menguatkan keyakinan mereka kepada agama. Dapat menjalankan perintah agama dengan istiqamah dan meningkatkan pemahaman dan pengamalan agama dengan konsisten.
  • Hamba yang hendak memerdekakan diri. Golongan ini tidak wujud lagi pada masa kini. Dikiaskan daripadanya memerdekakan diri daripada kejahilan dan buta huruf. Ianya lebih menjurus kepada peruntukan dalam bidang pendidikan untuk mencerdaskan orang-orang Islam dengan menimba ilmu yang diperlukan oleh masyarakat sebagai suatu fardu kifayah dalam memakmurkan bumi ini sebagai khalifah.
  • Yang berhutang. Memberikan sokongan kepada golongan ini melepaskan diri daripada keperitan hidup yang terpaksa berhutang demi penakatan hidup dalam keadaan susah.
  • Di jalan Allah (Fisabilillah). Mengukuhkan institusi-institusi penting dalam masyarakat seperti masjid, madrasah dan sebagainya, demi menegakkan dan memajukan dakwah Islamiah.
  • Orang yang putus bekalan dalam perjalanan (Ibnu sabil). Orang yang diberikan bantuan supaya perjalanan dengan tujuan baik yang hendak ditujui sampai pada destinasinya.

 

Pengaruh zakat dalam kehidupan

Ibadah zakat memberikan natijah dan pengaruh yang besar terhadap pelakunya dari segi pembangunan modal insan dan pembinaan kehidupan bermasyarakat. Natijah dan pengaruhnya membawa perubahan yang menaik taraf mutu sahsiah yang menyumbang  kepada kesejahteraan masyarakat yang lebih terpadu dan konstruktif.

Menghakis sifat keakuan yang mementingkan diri sendiri, maka tertanam rasa prihatin dan peduli yang mana setiap peribadi harus memerhatikan saudaranya agar tidak ketinggalan dalam menjalani hidup ini secara bergandingan. Sifat mementingkan diri sendiri mengakibatkan bencana permusuhan yang berakhir dengan perpecahan dalam masyarakat yang merugikan kita.

Apabila setiap anggota masyarakat Islam terpelihara dan terlindung daripada anasir-anasir merosak, ini memudahkan kita maju ke depan mengharungi segala cabaran untuk menegakkan kebaikan dan mengharumkan nama Islam di persada dunia.

Zakat memperteguh tali persaudaraan yang kukuh tanpa mengenal golongan dan kelompok tertentu lebih baik daripada yang lain. Orang mukmin adalah bersaudara hendaknya saling bersifat islah yang membawa kemakmuran dan keselamatan masyarakat. Di sisi Allah semua hambaNya sama kecuali takwa dan iman.

Kita syukuri kurniaan nikmat Allah yang tak terhingga, apa saja yang kita miliki bersifat sementara, kita lakukan tanggungjawab berzakat dengan penuh keikhlasan dan keinsafan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan besar ganjarannya serta mengharapkan kesudahan yang sebaik-baiknya di dunia dan akhirat.

Tunaikanlah zakat menyucikan harta, menghapuskan dosa, memperkasakan umat dan memakmurkan hayat. Semoga mendapat keampunan dan keredaan Allah.

Penulis Pegawai Dakwah Masjid Sallim Mattar.

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>