• Subuh 00:00
  • Syuruk 00:00
  • Zohor 00:00
  • Asar 00:00
  • Maghrib 00:00
  • Isyak 00:00

Pentingnya adab dalam mencari ilmu

By


MADRASAH mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menjadikan para pelajarnya individu yang baik lagi beradab.

Ini kerana antara misi utama madrasah ialah untuk melahirkan golongan pemimpin akan datang yang mampu membimbing masyarakat dalam aspek agama, intelek dan hubungan kemasyarakatan.

Bagi Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, ia memikul tanggungjawab bagi memastikan terdapat pemimpin wanita yang unggul dalam bidang-bidang tersebut demi kemaslahatan masyarakat di masa akan datang.

“Misi madrasah ialah untuk menjadikan para pelajar kita pemimpin wanita masa akan datang yang baik dari segi spiritual, maju dari segi intelek, dan pada masa yang sama mereka ada hubungan dengan masyarakat.

“Sebab kita tidak hidup sendiri. Manusia adalah insan sosial, mesti hidup secara bersosial yang positif, berkawan dan membentuk masyarakat,” kata dekan dan guru Madrasah Al-Ma’arif, Ustazah Sukarti Asmoin.

Ditemui baru-baru ini, beliau yang pernah menjadi mudirah madrasah perempuan itu selama 20 tahun – dari 1997 hingga 2017 – berpendapat salah satu aspek penting madrasah ialah menerapkan adab yang baik sebagai sebahagian nilai-nilai murni dalam pendidikan madrasahnya.

Misalnya, kata Ustazah Suharti, Madrasah Al-Ma’arif memperkenalkan tiga nilai utama, iaitu Adab, Akhlak dan Amanah.

“Kita mahu para pelajar kita menyerap nilai-nilai murni itu dalam diri mereka. Memang tidak mudah kerana mungkin di sekolah mereka begitu tapi di rumah mereka lain.

“Kadang-kadang ibu bapa mereka bekerja dan tiada di rumah, dan mereka boleh menyalahgunakan kebebasan yang mereka ada.

“Tapi dengan adanya nilai-nilai murni ini (dalam diri mereka), mereka tahu walaupun ibu bapa mereka tiada, Allah ada,” kata Ustazah Sukarti, 66 tahun.

Menjelaskan lanjut beliau menekankan bahawa dalam Islam, “semua perkara telah diletakkan adab.”

Misalnya, dalam solat ada adab, seperti lokasi lelaki dan wanita dalam solat berjemaah. Dalam pakaian pula, kata Ustazah Sukarti, menutup aurat itu juga adalah adab seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran.

Bahkan, tambah beliau, dalam usaha mencari ilmu juga, ia perlu diseiringkan dengan adab.

“Seperti yang diajarkan Luqman kepada anaknya dalam surah Luqman – pertama sekali adalah adab kita dengan Allah, iaitu, jangan syirik pada Allah.

“Bila belajar, kita perlu sabar dan bijaksana, tidak terburu-buru. Mesti ada adab dalam berguru – bersedia mendengar penjelasan guru,” kata Ustazah Sukarti.

Ditanya tentang bagaimana adab dapat memberi kesan pada pelajar secara keseluruhannya, Ustazah Sukarti berkata ia merupakan sesuatu yang “tidak dapat diperlihatkan.”

“Tapi kita percaya dengan keberkatan. Mungkin kita tidak perasan, kita tidak taat pada mak kita, dengan guru kita, sebab itu akhirnya keputusan kita kurang baik.

“Pelajar yang baik, berakhlak baik, selalunya keputusan mereka juga baik,” kata Ustazah Sukarti.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata pelajar yang sudah dididik dengan ilmu dan adab yang baik akan menjalankan amanah dengan lebih baik, sekali gus menjadikan mereka pelajar yang bertanggungjawab. Sifat ini, apabila telah diserap dalam diri dengan baik, akan turut diperlihatkan setelah pelajar dewasa kelak.

“Dia tahu setiap pergerakannya adalah ibadah, dan Allah melihat dan bila begitu, dia akan buat yang terbaik.

“Orang yang baik, menjadi anggota masyarakat yang baik, maka kita tidak akan ada masalah sosial.

“Perkara-perkara sebegini (masalah sosial) tidak akan timbul sekiranya ilmu yang diberikan itu adalah ilmu yang diberkati dan disampaikan mengikut adab-adabnya,” kata Ustazah Sukarti.

Berbekalkan pendidikan daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang sejarah dan sains politik, Ustazah Sukarti kemudian melanjutkan pengajiannya dalam bidang undang-undang syariah di Universiti Malaya.

Beliau juga memiliki sarjana dalam kepimpinan, dasar dan perubahan dari Universiti Monash, Australia, dan kini sedang mengambil Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan Islam.

Selain menjadi dekan madrasah, beliau juga memegang jawatan selaku anggota Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sejak Ogos 2019, Naib Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), dan anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB).

Sebelum beredar, Ustazah Sukarti berkata:

“Bila pelajar ada adab, kemudian bila mereka beradab, mereka akan gambarkan akhlak mulia sebagaimana yang dikehendaki Allah.

“Dengan kedua-duanya akhlak dan adab, rasanya tidak mustahil mereka akan jalankan amanah. Mereka tahu kalau mereka tidak jalankan amanah, ia berdosa.”

 

 

Article was first published in Berita Harian on 29/11/2019.


Related Articles