• Subuh 00:00
  • Syuruk 00:00
  • Zohor 00:00
  • Asar 00:00
  • Maghrib 00:00
  • Isyak 00:00

Sokongan masyarakat kekal diperlukan institusi madrasah setempat

By


SOKONGAN masyarakat terus kekal sebagai tunggak utama pelestarian institusi madrasah setempat dalam melahirkan golongan pemimpin agama yang mampu membimbing masyarakat Islam Singapura menghadapi pelbagai cabaran kehidupan di masa akan datang.

Malah lebih daripada sokongan kewangan, madrasah juga memerlukan perkongsian kepakaran masyarakat dalam usaha institusi tersebut mendidik generasi Muslim akan datang dengan pendidikan yang terbaik.

Demikian pandangan asatizah di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Ustaz Idham Halid Romli, 48 tahun, ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut beliau antara bantuan kepakaran yang dialu-alukan madrasah termasuk tenaga sukarelawan untuk membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan nasional, seperti kumpulan Ace PSLE Exams, atau APEX, kumpulan Aspire and Achieve through Mentorship (AAM) bagi para pelajar menduduki peperiksaan peringkat O dan A, dan juga perkongsian antara guru-guru di sekolah nasional dan guru-guru di madrasah.

Ini kerana “perkongsian antara madrasah dengan pihak luar memberi motivasi untuk membina institusi pendidikan yang lebih baik untuk masyarakat.”

“Sokongan padu masyarakat amat diperlukan supaya pendidikan di madrasah terus relevan dan dapat berkembang dengan baik,” kata Ustaz Idham yang telah mengajar selama 23 tahun di madrasah tersebut.

Kesemua enam madrasah sepenuh masa republik ini menerima suntikan dana dari masyarakat menerusi beberapa saluran seperti Dana Madrasah, Wakaf Ilmu, kutipan zakat yang dibayar di masjid-masjid dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), komponen pendidikan agama dari Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) serta derma umum orang ramai.

Dana-dana ini digunakan bagi menyokong pembangunan pelajar, asatizah dan guru serta prasarana dan kemudahan bangunan madrasah.

Pemerintah juga memberi geran bagi memperkukuhkan mata pelajaran sekular yang diajar di madrasah.

“Kos operasi madrasah ditanggung (hampir sepenuhnya) oleh masyarakat. Kalau kita bebankan pada pelajar, memang tidak mampu,” kata Ustaz Idham.

Menurut beliau kos bagi mendidik setiap pelajar di sesebuah madrasah dianggarkan antara $400 – $500 sebulan.

“Yuran sekolah yang diminta hanya sekitar $130. Kalau kita bebankan semuanya ke atas pelajar, memang tidak ramai yang akan mampu untuk mengecapi pendidikan di madrasah,” tambah Ustaz Idham.

Justeru, beliau menekankan pentingnya sokongan masyarakat bagi melestarikan institusi madrasah di Singapura, lebih-lebih lagi dengan timbulnya pelbagai pendekatan pendidikan berasaskan teknologi terkini, yang adakalanya memerlukan kos yang tinggi.

“Di (Madrasah) Irsyad, Alhamdulillah dengan sumbangan masyarakat, semua bilik darjah mempunyai kemudahan teknologi yang telah dipertingkatkan, seperti projektor dan skrin sentuh bagi menjadikan pengalaman pembelajaran di bilik darjah lebih interaktif untuk para pelajar,” kata Ustaz Idham.

Dalam pada itu, beliau juga menyambut baik peranan yang dimainkan Muis dengan memberikan sokongan dana dan kepakaran agar madrasah-madrasah dapat “maju ke peringkat yang lebih tinggi.”

Antara lain, Muis telah bantu memperkukuhkan kepimpinan dan kurikulum madrasah, membangunkan tenaga pengajar di madrasah, serta menaiktarafkan tangga gaji mereka.

“Misalnya, Muis menghantar semua guru-guru madrasah untuk mengambil kursus diploma khas dalam pendidikan di Institut Pendidikan Nasional (NIE),” kata Ustaz Idham.

Bahkan ramai juga guru dan asatizah madrasah yang melanjutkan pendidikan mereka ke kursus yang lebih tinggi, seperti sarjana dan doktor falsafah (PhD), untuk memberi mutu pendidikan yang lebih baik kepada para pelajar madrasah.

Contoh, Ustaz Idham yang memiliki Sarjana Muda dalam Syariah dari Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir, turut memiliki Sarjana dalam Undang-Undang Syariah dari Universiti Malaya, Malaysia, dan Doktor Falsafah (PhD) dalam Bahasa Arab dari Universiti Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim (UIN) di Malang, Indonesia.

“Madrasah bukan hanya sebuah institusi pendidikan tetapi juga sebuah institusi pembangunan kemanusiaan. Ia memberi jaminan agar umat Islam Singapura terus mempunyai kepimpinan agama yang unggul, terkini dan sesuai dengan konteks masyarakat majmuk di Singapura,” kata Ustaz Idham.

 

 

Article first appeared in Berita Harian on 25/10/2019


Related Articles