• Subuh 00:00
  • Syuruk 00:00
  • Zohor 00:00
  • Asar 00:00
  • Maghrib 00:00
  • Isyak 00:00

Madrasah bina kemahiran baru agar pelajar sedia hadapi cabaran masa depan

By


PARA pelajar di madrasah-madrasah sepenuh masa Singapura hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran kehidupan serta landskap sosioagama yang berbeza berbanding sedekad lalu.

Peka akan isu tersebut, Ustazah Sri Nurayu Mat Aris berkata pihak madrasah hari ini telah mengambil pelbagai pendekatan pembelajaran yang mampu membekalkan golongan pelajar dengan kemahiran-kemahiran tertentu dalam usaha membimbing mereka menjadi Muslim yang berguna serta pemimpin agama yang sedia membimbing masyarakat dalam konteks kehidupan majmuk.

Misalnya, di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah – di mana beliau seorang guru mengajar tauhid, tasawuf dan hadis – Ustazah Sri Nurayu berkata pihaknya menekankan pembangunan tiga kemahiran utama; memahami teks agama secara kontekstual, kepekaan akan silang budaya, dan kemasyarakatan.

“Keadaan dunia dan Singapura sudah berubah. Madrasah perlu persiapkan pelajar-pelajar bukan sahaja dengan ilmu atau kandungan yang sesuai, tetapi juga dengan kemahiran-kemahiran khas yang diperlukan,” kata Ustazah Sri Nurayu, 32 tahun.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai tiga kemahiran utama itu, Ustazah Sri Nurayu berkata, memahami teks sandaran utama masyarakat Islam, iaitu Al-Quran dan As-sunnah, penting kerana “konteks dan realiti kehidupan itu sentiasa berubah, jadi perlu untuk kita memahaminya dengan betul.”

Berhubung kemahiran silang budaya, Ustazah Sri Nurayu berkata:

“Dalam kehidupan hari ini, kita tidak boleh fikir kita sudah cukup dengan kita sahaja ataupun dengan orang-orang yang sama dengan kita sahaja.

“Sebaliknya kita perlu belajar dari ramai orang. Kita perlu berkolaborasi dengan bangsa lain, agama lain dan kita perlu ada kemahiran untuk berbincang dengan mereka dan kemahiran untuk menghormati mereka.”

“Yang paling penting sekali, saya sering tekankan kepada pelajar-pelajar saya agar mempunyai sikap sayang menyayangi, dan hormat menghormati antara satu sama lain, tak kira bangsa atau agama.”

Memberikan contoh, pihak Madrasah Wak Tanjong mengadakan program kerjasama dengan Sekolah Dunman High, di mana para pelajarnya dapat bergaul dan bertukar-tukar pandangan dengan golongan pelajar yang berlainan bangsa, agama dan pendapat.

Kemahiran ketiga pula, kata Ustazah Sri Nurayu, menyentuh tentang isu-isu terkini dalam masyarakat, seperti isu kesihatan mental dan sebagainya, dan pelajar “harus tahu mendekati isu-isu tersebut dengan cara yang sesuai dan efektif.”

“Semua kemahiran ini penting untuk hari ini, malah mungkin akan menjadi lebih penting dan diperlukan di masa akan datang,” kata Ustazah Sri Nurayu.

Bahkan, tambah beliau, dengan adanya alat-alat teknologi maklumat (IT) seperti telefon bimbit yang membolehkan para pelajar mendapat pelbagai maklumat dengan mudah, mereka juga harus dibekalkan dengan kemahiran untuk menyaring maklumat yang diperolehi.

Selain menyaring, kemahiran kemasyarakatan yang disebut beliau mampu “mengajar pelajar menghargai kepelbagaian pendapat dan menunjukkan akhlak-akhlak yang baik seperti mana yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w kepada orang yang tidak sependapat, atau yang berlainan agama.”

“Selalu disebabkan perbezaan ini timbulnya ketegangan. Jadi madrasah mendidik para pelajar kita kini, bila mereka keluar ke masyarakat dapat jadi orang-orang yang dapat membimbing masyarakat ke arah yang benar, ke arah akhlak yang mulia dan dapat menyatukan masyarakat kepada perkara-perkara yang baik,” ujar Ustazah Sri Nurayu.

Seorang alumni Madrasah Wak Tanjong – dari peringkat rendah hingga pra-universiti – Ustazah Sri Nurayu melanjutkan pengajian Sarjana Muda dalam Usuluddin (jurusan Hadis) di Universiti Al-Azhar di Kahirah, Mesir, sebelum kembali untuk mengajar di madrasah tersebut.

Menyentuh tentang sokongan masyarakat pada institusi madrasah setempat, Ustazah Sri Nurayu bersyukur Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bersama-sama masyarakat telah banyak membantu madrasah, baik dari segi kewangan mahupun program tukikan dan tenaga kepakaran.

“Kita harus melihat madrasah sebagai milik (kita) bersama. Madrasah bukan milik guru dan pemimpin madrasah sahaja,” kata Ustazah Sri Nurayu.

Article was first published in Berita Harian on 15/11/2019.


Related Articles