• Subuh 00:00
  • Syuruk 00:00
  • Zohor 00:00
  • Asar 00:00
  • Maghrib 00:00
  • Isyak 00:00

Cintai bahasa Arab

By


TIDAK syak lagi setiap Muslim memerlukan bahasa Arab dalam kehidupannya. Keperluan itu boleh dilihat di dalam kehidupan sehariannya.

Saat dia bangkit dari tidur, memasuki dan keluar tandas, makan dan minum, berangkat keluar dari rumah, memulakan sesuatu pekerjaan sehingga akhirnya ketika dia kembali tidur, setiap satu pekerjaan yang dilakukannya, dimulakan dengan doa-doa yang diajar oleh junjungan Nabi kita Muhammad s.a.w dalam bahasa Arab.

Maka secara sedar atau tidak seorang Muslim itu telah mula berbahasa Arab dari seusia kecil umurnya. Bahasa Arab adalah wasilah untuk seseorang Muslim itu memahami zikir dan doa yang dibaca.

Bahasa Arab juga adalah wasilah untuk seseorang Muslim itu khusuk dalam solatnya.

Hal ini sebagaimana yang Allah firmankan dalam surah Al-Mu’minun, ayat 1 hingga 2

Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya,

Bagaimana kita mampu mencapai kekhusyukan dalam solat kita dan tadabbur akan ayat-ayat suci Al-Quran tanpa memahami bahasa-bahasa indah Al-Quran ini yang merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w.

Nabi Muhammad telah berabad meninggalkan kita, namun mukjizatnya kekal abadi ditinggalkan kepada kita untuk dijadikan panduan dalam kehidupan kita.

Allah s.w.t memilih bahasa Arab dari jutaan bahasa yang lain untuk menunjukkan bahawasanya bahasa Arab ini mempunyai keistimewaan, sebagaimana firman Allah dalam surah Yusuf, ayat 2:

“Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al-Quran dengan berbahasa Arab, agar kamu memahaminya”.

Dalam surah as-Syu’ara ayat 195, Allah berfirman:

“Al-Quran itu berbahasa Arab yang jelas.”

Bahasa Arab mudah dipelajari, malah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah pernah berkata, khususnya terkait dengan belajar bahasa Arab dalam rangka memahami Al-Quran dan As-Sunnah:

“Bahasa Arab itu adalah bahagian yang tidak terpisahkan dari agama, dan memahami dan mempelajari bahasa Arab itu adalah suatu kewajipan, kerana sungguh memahami Al-Quran dan As-Sunnah hukumnya wajib, dan tidak mungkin Al-Quran dan As-Sunnah difahami kecuali dengan bahasa Arab.”

Manakala Imam Hasan al-Banna mewasiatkan kepada kita, “Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah kerana bahasa Fushah itu adalah sebahagian dari syiar Islam.”

Bagi yang mempunyai anak kecil, semailah benih dalam diri anak-anak kita untuk mencintai bahasa Arab iaitu bahasa Al-Quran, bak kata pepatah juga melentur buluh biar dari rebungnya. Penyerapan bahasa perlu bermula seusia mereka kecil lagi.

Namun dalam kita tinggal dalam negara yang mana bahasa Inggeris menjadi bahasa terpenting dan dominan dalam kita berkomunikasi di samping bahasa ibunda sendiri, mempelajari dan bertutur dalam Bahasa Arab mungkin diketepikan begitu sahaja.

Juga sebahagian ibu bapa merasakan ianya agak susah dipraktikkan kecuali bagi mereka yang berlatarbelakangkan bahasa tersebut.

Ibu bapa boleh cuba beberapa cara dan tip berikut untuk memastikan anak-anak kita terus mencintai bahasa Al-Quran ini tanpa menolak era globalisasi yang bergerak maju.

Pertama: Menguasai huruf-huruf Al-Quran, membaca dengan baik dan bertajwid merupakan langkah pertama untuk mencintai Bahasa ini.

Kedua: Tulis dan tampal perkataan asas yang mereka selalu gunakan seperti مرسم(pensel),قلم  (pen), سرير(katil) dan sebagainya di tempat dan barang-barang mereka, biarkan dua tiga minggu kemudian diubah dengan perkataan lain silih berganti. Dengan cara ini secara tidak langsung, mata melihat, lidah terbaca dan otak terakam dibenak fikirannya.

Ketiga: Langkah seterusnya, galakkan mereka menggunakan perkataan tersebut dalam ayat mudah dan pendek bahasa Arab walaupun seringkas ini: هذا مرسمٌ, yang membawa maksud; “Ini adalah pensel’. Beri pujian yang ikhlas kalau mereka mampu berbuat sedemikian. Anak-anak peringkat usia muda mudah menangkap dan menghafal banyak perbendaharaan kata dalam pelbagai bahasa. Usah menyekat kebolehan mereka.

Namun perbendaharaan ini akan hilang begitu sahaja, jika tidak diajar dan diarah oleh orang yang lebih dewasa, khususnya ibu bapa dalam penggunaannya. Terapkan perkataan yang diperolehi di dalam potongan ayat yang pendek dan mudah. Dengan cara ini anak lebih terdorong untuk lebih menghargai bahasa ini.

Keempat; Pada usia mereka lebih kurang 9 tahun, anak ini sudah mula semakin dewasa untuk lebih memahami, sediakan satu buku catatan kecil seperti buku nota, ajar mereka untuk mencatat perkataan-perkataan baru yang mereka tertarik sama ada mereka dapat dari madrasah atau dari sekolah mingguan masjid atau di mana sahaja bahasa Arab boleh ditemui.

Tidak perlu menggunakan unsur penekanan atau paksaan, menyuruh mereka mencatat perkataan yang mereka sukai dan menarik dari pandangan mereka lebih baik daripada dipaksa menulis semua perkataan baru yang mereka jumpa.

Ibu bapa boleh bertindak balas dengan menyemak buku catatan mereka tanpa pengetahuan mereka dan cuba menggunakan perkataan yang mereka tulis itu secara tidak rasmi dengan bertanya pelbagai cara, dengan cara ini bila anak mampu menjawab, secara tidak langsung akan menaikkan motivasi mereka untuk mencintai bahasa ini.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Kami Nabi-nabi diperintahkan menempatkan manusia menurut tahap mereka dan berbicara kepada mereka sesuai dengan akalnya.”

Saya yakin bila anak sudah mula mencintai bahasa Arab yang telah disemai oleh ibu bapa mereka di rumah, secara tidak langsung anak tersebut dengan sendirinya akan menghargai bahasa tersebut dan dahagakan ianya lagi dan lagi.

Tugas kita ibu bapa sekadar menyuntik mereka untuk mencintai bahasa al-Quran ini.

Asatizah di madrasah akan membajai dan menyiramnya supaya menjadi subur. Bila cinta telah berputik, ianya akan mekar indah dengan sendirinya insya-Allah.

Buat semua, ingatlah pesanan sahabat Umar Ibnu Khattab r.a:

“Bersemangatlah di dalam mempelajari bahasa Arab, kerana sesungguhnya bahasa Arab adalah sebahagian dari agama mu.”

Akhir kalam,“Cintailah bahasa Arab kerana tiga perkara. Pertama, bahawa aku (Nabi Muhammad) adalah orang Arab. Kedua, bahawa Al-Quran adalah bahasa Arab dan ketiga bahasa penghuni syurga di dalam syurga adalah bahasa Arab.” (Riwayat at-Thabrani).

 

Penulis asatizah di Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.

 

 

Article was first published in Berita Harian on 8/11/2019.


Related Articles