• Subuh 00:00
  • Syuruk 00:00
  • Zohor 00:00
  • Asar 00:00
  • Maghrib 00:00
  • Isyak 00:00

Sokongan masyarakat dan Muis memperkayakan asatizah di madrasah

By


SOKONGAN masyarakat dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah membolehkan para tenaga kerja madrasah-madrasah sepenuh masa dibekalkan dengan kemahiran dan keupayaan membimbing para pelajar madrasah melalui pelbagai cabaran pendidikan masa kini.

Berkongsi pengalamannya mengajar di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) selama lebih dua dekad, Ustazah Zainab Mohamed Habib, 49 tahun, berkata antara sokongan yang diterima dari Muis termasuk pembiayaan bagi program diploma pendidikan Institut Pendidikan Nasional (NIE) yang disertainya beberapa tahun lalu.

“Saya merupakan anggota kohort pertama program bagi guru-guru madrasah itu dan banyak yang saya pelajari bagi membantu saya menyampaikan pengajaran  saya dengan lebih baik dan berkesan,” kata Ustazah Zainab yang mengajar bahasa Arab dan Pengetahuan Agama Islam (IRK) di MAI.

Semua asatizah madrasah perlu mengikuti program tersebut – ditampung oleh Muis – bagi mempertingkatkan mutu pengajaran mereka.

Selain program diploma itu, beliau juga pernah dihantar ke Shanghai, China, bagi satu program pembelajaran pengurusan kepimpinan.

Menurut beliau, berbeza dengan para pelajar madrasah sepenuh masa dahulu, pelajar kini perlu mengambil mata pelajaran dari dua bidang – akademik dan ukhrawi – “dan jumlah subjek yang banyak boleh menimbulkan cabaran besar pada para pelajar.”

“Selain mengajar, kami sebagai guru perlu peka tentang cabaran-cabaran tersebut dan sering memberi dorongan dan sokongan moral kepada pelajar agar mereka mampu mengimbangi mata pelajaran yang banyak itu dengan baik.

“Tanpa sokongan masyarakat, khususnya program yang dibiayai Muis hasil sumbangan masyarakat, para tenaga pengajar madrasah-madrasah setempat belum tentu dapat meraih kepakaran yang diperlukan,” jelas Ustazah Zainab.

Sebagai sebuah institusi yang disokong sepenuhnya oleh masyarakat menerusi pelbagai sumber seperti zakat, wakaf dan yang paling besar, iaitu derma am, Ustazah Zainab akur sumber yang dimiliki madrasah terhad.

Justeru beliau kagum dengan pencapaian para pelajar madrasah yang mampu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di kededua aliran akademik dan ukhrawi, seperti ke maktab rendah, politeknik dan Universiti Nasional Singapura (NUS) serta universiti-universiti Islam terunggul di Jordan, Mesir dan Malaysia.

Selain derma dan sokongan kewangan, Muis sebagai penaung bagi semua madrasah-madrasah sepenuh masa di Singapura mengadakan pelbagai program pengayaan dan pembangunan bagi para guru dan asatizah madrasah seperti program diploma pendidikan serta program lawatan sambil belajar ke luar negara.

Muis juga menyediakan sokongan prasarana dan kemudahan pendidikan. Antaranya, Muis membiayai sebahagian kos pembangunan kampus baru MAI yang dijadualkan dibuka pada tahun depan.

“Alhamdulillah, berkat tunjuk ajar guru-guru madrasah yang bukan sahaja mengajar mata pelajaran tetapi juga nilai-nilai baik yang wajar dimiliki pelajar, para pelajar lebih tabah dan cekal menghadapi cabaran mereka. Itu yang amat saya kagumi,” kata Ustazah Zainab.

Ustazah Zainab mendapatkan pendidikan awal dan menengah di Madrasah Aljunied Al-Islamiah. Setelah lulus peringkat pra-universiti, beliau ke Universiti Al-Azhar di Kahirah, Mesir.

Namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, beliau terpaksa kembali ke tanah air tanpa menamatkan pendidikan, dan sebaliknya melanjutkan pengajian diploma dakwah di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin di Terengganu, Malaysia.

Setelah lulus, beliau pernah meluangkan masa mengajar di Madrasah Aljunied, dan Masjid Darul Ghufran, sebelum ke MAI dan kekal sehingga hari ini.

Ditanya mengenai harapannya untuk para pelajar madrasah setempat, Ustazah Zainab berkata ramai lulusan madrasah telah mencatatkan kejayaan dalam bidang-bidang kerjaya yang mereka ceburi, termasuk bidang agama dan sekular.

Namun beliau menggesa agar pihak majikan memberi lebih banyak peluang kepada lulusan madrasah “kerana saya percaya mereka mempunyai potensi dan mampu melakukan tugas-tugas tersebut dengan baik.”

“Dengan peluang yang lebih luas untuk mereka, saya percaya lulusan madrasah akan dapat menyumbang semula kepada masyarakat dengan lebih baik dan lebih bermakna.

“Dan saya percaya, setiap lulusan madrasah juga sedar tentang sokongan masyarakat yang telah membantu mereka di peringkat awal dan pasti akan mahu menyumbang semula kepada masyarakat sebagai tanda rasa syukur mereka atas sokongan tersebut,” kata Ustazah Zainab.

Article was first published in Berita Harian on 1/11/2019.


Related Articles