Asatizah Main Peranan Besar Bimbing Masyarakat Harungi Cabaran Kehidupan

oleh

GOLONGAN asatizah hari ini mempunyai peranan penting dalam membimbing masyarakat mengharungi pelbagai cabaran kehidupan.

Dalam pada itu, mereka juga memiliki tanggungjawab untuk memastikan amalan keagamaan masyarakat Islam dijaga dengan baik, tanpa menjejas amalan keagamaan masyarakat lain.

Ini kerana dalam sebuah masyarakat majmuk yang berbilang agama di Singapura, memelihara keharmonian agama merupakan satu elemen penting dalam berdakwah.

Memberikan pandangan tersebut, penasihat Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Ustaz Mokson Mahori, berkata cabaran-cabaran tersebut memerlukan pendekatan pendidikan yang baru, dan madrasah beliau telah pun mengambil langkah-langkah bagi memenuhi keperluan tersebut.

Ini termasuk memperkenalkan Program Diploma International Baccalaureate (IB) dan program Azhar 2.0 yang bertujuan melengkapi asatizah pada masa depan dengan pengetahuan dan kemahiran yang lebih luas, bagi membimbing masyarakat menghadapi cabaran selanjutnya.

Ditemui baru-baru ini, Ustaz Mokson yang pernah menjadi mudir madrasah tersebut antara tahun 1992 hingga 1998 berkata “bila ustaz dan ustazah menyampaikan ajaran agama, ajaran itu harus mengambil kira kewujudan masyarakat lain dan adat resam masyarakat tersebut di Singapura ini.”

“Jika itu tidak dapat dijalankan dengan sempurna, saya bimbang akan berlaku sesuatu yang tidak kita ingini,” kata Ustaz Mokson, yang telah mula mengajar di Madrasah Aljunied sejak tahun 1987 – lebih tiga dekad lalu.

Berhubung IB, ia merupakan sebuah program pembelajaran di mana para pelajar melaksanakan beberapa tugasan – termasuk menyentuh tentang isu-isu semasa yang lebih menyeluruh –  sepanjang program dua tahun yang menentukan gred akhir mereka.

“Alhamdulillah, meskipun kurikulum IB lebih padat (berbanding kurikulum biasa) para pelajarnya semua menunjukkan prestasi yang baik,” ujar Ustaz Mokson.

Menyentuh tentang peranan lain asatizah, Ustaz Mokson menambah, berbeza dengan guru-guru di sekolah nasional, para asatizah turut memikul tanggungjawab dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

Bahkan beliau menaruh harapan agar setiap lulusan madrasah, tanpa kira laluan kerjaya yang dipilih, tidak melupakan tanggungjawab mereka sebagai seorang dai yang mampu memimpin masyarakat menghadapi cabaran kehidupan yang kian rencam dan berbeza-beza.

“Madrasah merupakan sebuah institusi yang mana kelestariannya bergantung pada sokongan masyarakat. Setiap lulusan madrasah harus sedar bahawa beliau ada tanggungjawab (untuk menyumbang semula) kepada diri, keluarga dan juga masyarakat.

“Jadi bantuan dan sokongan masyarakat (yang diberikan kepada institusi madrasah) akan berbalik kepada masyarakat,” kata Ustaz Mokson, yang juga anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB).

Ditanya tentang pembangunan asatizah Singapura, Ustaz Mokson berkata beliau telah melihat banyak perubahan positif ekoran sokongan masyarakat pada institusi tersebut, termasuk sokongan program latihan dan kewangan dari Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Tambah beliau, kebanyakan bantuan dan sokongan tersebut “telah menaiktaraf kemahiran golongan asatizah dalam bidang pendidikan.”

“Madrasah amat berbesar hati atas sokongan dari semua pihak. Kami berharap, sokongan ini dapat berterusan di samping doa yang diberikan, kami dapat meneruskan tanggungjawab dan komitmen sebagai pendidik,” ujar Ustaz Mokson.

Berlatar-belakangkan pendidikan madrasah sepenuh masa – Ustaz Mokson mendapatkan pendidikan rendah di Madrasah Al-Islah di Pepys Road, bersebelahan Masjid Al-Islah yang dulu di situ, dan kemudian di Madrasah Aljunied dan Universiti Al-Azhar di Kahirah, Mesir – Ustaz Mokson berkata banyak yang telah berubah dalam sektor madrasah setempat.

Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa objektif madrasah sebagai ladang pendidikan agama bagi anak bangsa masih kekal relevan hari ini demi memenuhi keperluan agama masyarakat.

Memberikan contoh, beliau berkata apabila pendidikan wajib (CE) cuba diterapkan ke dalam sistem pendidikan madrasah sepenuh masa Singapura, ramai dalam kalangan masyarakat yang menimbulkan sentimen yang kurang senang. Namun masyarakat Islam menerimanya sebagai satu cabaran; bukan satu hambatan.

Penerapan CE ke dalam sistem pendidikan madrasah juga merupakan satu contoh positif di mana para asatizah menggembleng tenaga untuk menyesuaikan diri bagi memenuhi sebuah perubahan, dan bagaimana ia dapat dimanfaatkan bagi memenuhi keperluan masa depan masyarakat yang dijangka menjadi lebih rumit dan mencabar di masa akan datang.

Ini, kata Ustaz Mokson, telah menjadikan madrasah lebih relevan hari ini dan lebih berdaya saing, dan turut diraikan golongan ibu bapa masyarakat Islam setempat.

Ditanya tentang rahsia di sebalik penglibatannya sebagai tenaga pengajar dalam sektor madrasah yang menjangkaui lebih tiga dekad, Ustaz Mokson berkata tanggungjawab asatizah sebagai pendidik dan pendakwah masyarakat membuat beliau keberatan meninggalkan bidang tersebut.

“Ruh atau jiwa pendidikan sudah sebati dalam diri saya. Selagi khidmat saya diperlukan, demi kemajuan pendidikan anak-anak madrasah dan masyarakat, insya-Allah saya sedia berkhidmat,” kata Ustaz Mokson.

More Articles

Siapakah Sayidatina Khadijah r.a.?

Siapakah Sayidatina Khadijah r.a.?

Sifat dan budi pekertinya yang mulia membuatnya mendapat kehormatan untuk disambut oleh Allah melalui Malaikat Jibril a.s. Demikianlah kedudukan yang sangat dihormati sebagai Ibu Orang-orang Mukmin yang pertama (Ummahatul Mu’mininin) Khadijah binti Khuwailid r.a.

baca lagi
Laylatul Qadar – Permata Yang Dicari Semua Orang

Laylatul Qadar – Permata Yang Dicari Semua Orang

Ustazah Nuurunnuur Beberapa orang: Eh! 10 hari lagi nak raya lah guys! Yang lain: Eh! Ramadhan tinggal 10 hari lagi?  Kita tergolong dalam golongan yang mana? Setiap Ramadan kita sering mendengar istilah – “10 malam terakhir” atau “sepuluh malam terakhir”. Ada apa...

baca lagi
Pengorbanan dalam Islam

Pengorbanan dalam Islam

Dhaniah Suhana Input by Ustazah Nuurunnuur Eid al-Adha, atau Hari Raya Haji seperti yang dikenali di Singapura, menandakan berakhirnya Haji, ziarah tahunan umat Islam ke Mekah. Ia juga telah digelar sebagai 'Perayaan Korban', dan paling menonjol dikaitkan dengan...

baca lagi